Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon mahu lebih banyak program inovasi untuk usahawan

0

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu lebih banyak program inovasi dilaksanakan bagi memberi peluang kepada usahawan-usahawan tempatan menyerlahkan potensi seterusnya mencipta kejayaan di persada antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyokong usaha berterusan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan melaksanakan program inovasi bagi mengangkat usahawan-usahawan baharu serta memupuk perusahaan mikro dan kecil yang sedang berkembang.

Beliau berkata, inovasi adalah daya penggerak yang penting untuk memastikan daya saing perniagaan, terutamanya dalam era digital dan globalisasi.

“Tahniah kepada SME Bank dan rakan-rakan strategiknya atas usaha

murni menganjurkan inisiatif ini. Program-program seperti ini adalah bukti komitmen kita dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Saya percaya, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pembelajaran,

dan organisasi lain yang berkaitan dapat menjadi asas kepada pembangunan ekonomi usahawan yang mampan.

“Sokongan bersama ini akan memperkasa usahawan-usahawan kita bergerak lebih jauh dan mencipta impak yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Program SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024, di sini, pada jumaat lalu.

Ewon berkata, industri perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) adalah sektor penting dalam pembangunan ekonomi negara.

“Pada tahun 2023 sahaja, sektor PMKS menyumbang sebanyak 39.1 peratus atau RM613.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita.

“Oleh itu, kerajaan melihat pertumbuhan perniagaan yang mampan sebagai satu tonggak penting,” katanya.

Katanya lagi, usahawan-usahawan yang mampu mengintegrasikan aspek kelestarian dalam perniagaan mereka bukan sahaja mampu membawa kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar tetapi juga memanfaatkan sumber dengan lebih cekap.

Pemenang SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024 akan mewakili Malaysia di Swiss Innovation Challenge 2024 International Pitch yang akan berlangsung di Switzerland.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pemangku Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Pengurus Projek Swiss Innovation Challenge, University of Applied Sciences Northwestern Switzerland, School of Business (FHNW) Professor Dr. Andreas Hinz.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.