Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon Mantapkan Agenda Pendidikan: Geran Diteruskan Tanpa Gagal

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry

EWO0N

KOTA KINABALU, 6 Dis 2025 — Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick, yang juga ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan geran pendidikan tahunan bagi semua sekolah di Penampang dan Kadamaian pada 2026, menjadikan dasar ini sebagai salah satu inisiatif pendidikan yang paling konsisten di Sabah.

Datuk Ewon, yang turut memegang portfolio sebagai Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata penyaluran geran ini adalah langkah strategik untuk memastikan sekolah rendah, menengah, dan institusi pendidikan khas menerima sokongan berterusan dalam meningkatkan mutu pembelajaran serta kemudahan asas, di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Penampang, semua PIBG sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima geran pendidikan tahunan, termasuk bantuan tambahan kepada sekolah yang memerlukan sokongan segera seperti SK St. Joseph. Dasar ini saya perluaskan ke Kadamaian sebagai ADUN, dan akan terus dilaksanakan sepenuhnya pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi SK St. Joseph Penampang pada Ahad.

Sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai agenda teras kerajaan negeri, bukan sahaja melalui peruntukan kewangan tahunan, tetapi juga melalui kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, dan komuniti bagi memperkukuh pencapaian akademik, pembentukan sahsiah, dan pembangunan bakat generasi muda.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada para pendidik dan ibu bapa atas komitmen mereka mengekalkan standard pendidikan yang tinggi di Penampang dan Kadamaian.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua guru dan ibu bapa atas dedikasi mereka memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang terbaik,” katanya.

Datuk Ewon turut menyeru para pelajar agar memupuk jati diri, menghormati guru dan keluarga, serta melangkah yakin ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Sepuluh tahun dari sekarang, saya berharap setiap seorang daripada 88 pelajar ini kembali sebagai graduan universiti dan membawa kejayaan masing-masing,” katanya.

Majlis tersebut menyaksikan 88 pelajar Tahun 6 menerima sijil graduasi.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.