Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA KINABALU, 3 Dis 2025 – Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, pada Rabu menegaskan bahawa wawasan Sabah First akan menjadi kompas utama yang menggerakkan seluruh kementeriannya. Ketegasan itu sekali gus menandakan permulaan era pentadbiran yang lebih tegas, berfokus dan berpaksikan keutamaan rakyat Sabah.
Ewon berkata beberapa agenda teras akan diperhebat, termasuk membina ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang benar-benar mesra pelabur serta mesra usahawan—terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negeri.
“Ini mesti menjadi tunjang kepada aktiviti ekonomi Sabah. Itu adalah Sabah First,” tegasnya.
Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan taraf produk dan perkhidmatan PMKS agar selaras dengan standard pasaran domestik dan antarabangsa, membolehkan usahawan Sabah bersaing di peringkat lebih luas.
Pada masa sama, beliau mengingatkan seluruh kementerian dan agensi agar beralih daripada budaya birokrasi menghalang kepada budaya memudahkan.
“Tadbir urus mesti cekap. Kita mesti memudahkan, bukan menyusahkan—khususnya kepada komuniti PMKS. Itu juga adalah Sabah First,” katanya.
Amanat itu beliausampaikan ketika memulakan tugas rasmi pertamanya di kementerian berkenaan, beberapa jam selepas menghadiri mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah.
Sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon menegaskan bahawa perjuangan Sabah First yang dibawa partinya tidak akan berkompromi mengenai hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.
Tuntutan berkaitan pembayaran balik 40 peratus hasil Sabah, katanya, kekal sebagai teras perjuangan UPKO dalam Kerajaan Sabah.
Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya akan memacu agenda Sabah First melalui peningkatan pendapatan rakyat, sama ada sebagai usahawan atau tenaga kerja yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keusahawanan.
Ewon dijadual memulakan siri lawatan ke agensi-agensi di bawah kementerian bermula esok bagi berkongsi fokus kepimpinan baharunya dan menilai arah gerak kerja setiap agensi.
Dalam komitmen untuk memastikan hubungan langsung dengan pemegang taruh, Ewon memperuntukkan sekurang-kurangnya satu hari seminggu untuk bertemu komuniti PMKS serta pihak berkepentingan lain. Beliau juga mengekalkan satu hari khusus untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang, menegaskan keseimbangan antara peranan eksekutif dan mandat rakyat.
Mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon mengakui beliau berhasrat melihat kerajaan negeri dibentuk oleh parti-parti lokal sepenuhnya. Namun, keputusan muktamad berada di tangan Ketua Menteri dan beliau menghormatinya.
“Ini sama sekali tidak memadamkan agenda Sabah First yang saya dan UPKO perjuangkan,” katanya.
![]()