Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 15 Sept – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa kepentingan rakyat mesti mengatasi agenda politik apabila parti itu memilih untuk tidak melancarkan jentera pilihan raya Kadamaian, sebaliknya menubuhkan Tabung Bantuan Bencana UPKO dengan dana permulaan sebanyak RM100,000.
Ewon berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan UPKO terhadap mangsa banjir dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa daerah, bencana yang turut meragut nyawa serta menjejaskan kehidupan ramai.
“Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita tidak meneruskan pelancaran jentera pilihan raya. Sebaliknya, kita menyalurkan dana awal RM100,000 melalui Tabung Bantuan Bencana UPKO. Dana ini akan diagihkan segera kepada bahagian-bahagian UPKO di kawasan terjejas bagi membantu mangsa yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Rakyat Kadamaian di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, Isnin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan, tabung itu tidak melibatkan sumbangan awam, sebaliknya dimulakan melalui dana dalaman parti.
Langkah ini, katanya, adalah bukti jelas bahawa UPKO mendahulukan nyawa dan kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik, selain menggambarkan nilai kemanusiaan yang wajar menjadi asas perjuangan politik di Sabah.
Konvensyen Rakyat Kadamaian yang berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia itu menghimpunkan lebih 3,000 peserta, dengan pengisian yang turut menyorot pencapaian pembangunan Kadamaian sejak Ewon menerajui kawasan berkenaan pada 2018.
![]()