KEPULANGAN Cristiano Ronaldo ke Manchester United akan menyaksikannya dia menikmati gaji 480,000 pound (RM2.76 juta) seminggu sekali gus muncul pemain menerima gaji paling mahal di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bintang berusia 36 tahun itu mencetuskan kepulangan dramatik ke United semalam selepas terlebih dahulu dikatakan semakin hampir untuk menyertai seteru setempat, Manchester City.
Perpindahan tersebut akan menyaksikan Ronaldo kembali menyarung jersi Red Devils selepas 12 tahun meninggalkan kelab berkenaan untuk berhijrah ke Real Madrid dan Juventus.
Ronaldo kini muncul pemain menerima gaji paling tinggi mengatasi Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Harry Kane dan David de Gea.
Sebelum ini, pemain menerima gaji tertinggi di EPL adalah bintang tengah City, De Bruyne iaitu 385,000 pound (RM2.22 juta) seminggu manakala penjaga gol United, De Gea hanya kurang 10,000 pound (RM57,600) berbanding bintang Belgium itu.
Biarpun gaji yang bakal diterima Ronaldo mengatasi De Bruyne hampir 100,000 pound (RM576,000) namun jumlah itu masih tidak dapat mengatasi gaji diterima Lionel Messi dan Neymar di PSG.
Selepas meninggalkan Barcelona awal bulan ini, Messi bersetuju dengan tangga gaji 1 juta pound (RM5.76 juta) seminggu bersama PSG.
Rakan sepasukannya, Neymar yang menyertai kelab itu pada 2017, turut menerima gaji tinggi sebanyak 600,000 pound (RM3.46 juta) seminggu. – AGENSI