Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Geran RM10 juta usahawan Sabah dan Sarawak – Ewon

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia menyediakan geran sebanyak RM10 juta untuk usahawan Sabah dan Sarawak.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melaksanakan pelbagai progam khusus untuk memperkasa usahawan-usahawan di kedua negeri ini, antaranya  BEEP Plus Sabah dan Sarawak atau Program Peningkatan Enterpris Bumiputera di bawah Program Pengukuhan Mikro MADANI oleh SME Corp.

Katanya, program itu menawarkan bantuan secara Geran Padanan sehingga 70 peratus pembiayaan atau maksimum RM250,000 bagi setiap kelulusan.

RM10 juta untuk usahawan Sabah dan Sarawak – Ewon

“Sejak pelancaran program BEEP Plus pada 1 Oktober lalu, sebanyak 73 permohonan telah diterima,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, persidangan Parlimen, di sini, pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Anak Biju yang bertanya langkah-langkah terkini kementerian untuk memberdayakan usahawan terutama daripada kalangan B40 dan usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan Skim Geran Usahawan Orang Asal.

Ewon berkata, SME Corp melaksanakan program Inclusive SME Ecosystem (I-SEE) bagi menyediakan bantuan geran kepada inovator perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memperkasa kumpulan B40 dan menggalakkan transformasi komuniti menerusi bimbingan dan penyediaan sokongan teknikal.

EWON

“Bagi tempoh 2021 sehingga Ogos 2023, sejumlah 30 inovator PMKS mendapat manfaat dengan kelulusan geran berjumlah RM4.6 juta.

“Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp pula menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat.

“Sejak 2014, seramai 1,852 usahawan belia Sabah dan Sarawak menerima geran RM25.54 juta di bawah program TUBE,” katanya.

Ewon berkata, TEKUN Nasional juga memperuntukkan RM5 juta untuk usahawan pasar tamu melalui Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.

“Sehingga 30 September lalu, 490 usahawan pasar tamu Sabah dan Sarawak menerima manfaat dengan jumlah pembiayaan RM2.25 juta.

“Bagi usahawan muda pula, TEKUN menyalurkan pembiayaan kepada 75 usahawan di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya.

Katanya lagi, di bawah Program Be Your Own Boss (BYOB), Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 9 usahawan belia melibatkan pembiayaan berjumlah RM3.26 juta di Sabah dan Sarawak.

“Kementerian menerusi SKM bersetuju mengurangkan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) daripada 15% (caruman wajib) kepada 13% mulai tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2023 sehingga 30 November 2025.

“Ini bermakna koperasi dapat meningkatkan potensi pendapatan boleh guna untuk aktiviti perniagaannya dengan lebihan kecairan tunai berjumlah hampir RM20 juta. Kadar ini akan kembali kepada kadar asal secara berperingkat mengikut ketetapan SKM kelak.

“Saya berharap pengurangan kadar KWRS ini dapat memberi kelegaan kepada koperasi untuk bangkit semula dan memulihkan perniagaannya serta mengalami pertumbuhan yang lebih baik,” katanya.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.