KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mewakili Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan dan meraikan sambutan Hari Kebangsaan Vietnam ke-78 tahun.
Beliau berkata, hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam melakar satu lagi pencapaian signifikan apabila kedua-dua negara melepasi sasaran USD18 billion dalam perdagangan dua hala.
Beliau berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara itu akan menyumbang kepada persahabatan, kerjasama dan persefahaman yang lebih baik.
“Kesepakatan dan kerjasama kukuh Malaysia dan Vietnam telah menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan di rantau ini.
“Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam pada Julai 2023 telah mengukuhkan lagi kerjasama erat kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, iaitu perdagangan dan pelaburan serta budaya dan pendidikan.
“Lawatan itu memperlihatkan kesungguhan dan dedikasi bersama untuk terus memperkukuhkan ikatan yang sedia terjalin antara kedua-dua negaram” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis resepi sempena ulang tahun ke 50 hubungan diplomatik Malaysia – Vietnam dan sempena Hari Kebangsaan Vietnam ke-78, di sini, semalam.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Republik Sosialis Vietnam sempena ulang tahun ke-78 Hari Kebangsaan Vietnam.
“Vietnam adalah rakan kongsi yang penting untuk Malaysia dalam konteks hubungan dua hala dan ASEAN. Saya merasa gembira kerana hubungan dan jalinan kerjasama Malaysia dan Vietnam semakin bertambah kukuh,” katanya.
Ewon berkata, sejak beberapa tahun lalu, kerjasama Malaysia dan Vietnam menjadi lebih baik dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, kebudayaan dan hubungan diplomatik.
“Kerjasama ini bukan hanya mendatangkan banyak manfaat kepada kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan di rantau ini.
“Kesimpulannya, ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam adalah peristiwa bersejarah yang mengingatkan kita mengenai ikatan berkekalan yang telah kita jalin selama ini.
“Ketika kita berada di ambang era baharu, marilah kita terus memperkukuhkan perkongsian kita, membina persefahaman dan bekerjasama untuk dunia yang lebih makmur, aman dan harmoni. Semoga persahabatan antara Malaysia dan Vietnam terus berkembang pada tahun-tahun akan dating,” kata Ewon.
Pada majlis itu, Ewon disambut oleh Duta Vietnam ke Malaysia Dinh Ngoc Linh. Majlis itu diserikan lagi dengan pelbagai persembahan kebudayaan negara itu.