SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi pandangan, masa yang sesuai bagi kerajaan persekutuan untuk melihat secara positif mengenai cadangan memberikan hak keutamaan 70 peratus perjawatan awam di semua agensi pusat dan Wilayah Sabah dan Sarawak kepada anak-anak kedua negeri itu.
Ketua Penerangan parti itu Dr. Peter Jr. Naintin berkata, walaupun ia bersifat cadangan tetapi pergerakan itu melihat masanya sudah tiba perkara itu diperincikan selaras dengan komitmen dan aspirasi kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kesamarataan di peringkat persekutauan, Sabah dan Sarawak.
“Kita mencadangkan 70 peratus itu sesuai dengan merujuk dasar Borneanisasi, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 20 untuk Sabah, dan Perkara 18 untuk Sarawak, di bawah Perjanjian Malaysia 1963,”. Katanya kepada media di Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di sini.
Majlis itu dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kristian PDRM Daerah Sandakan yang merangkumi IPD Sandakan, IPD Kinabangatan, IPD Beluran, Marin Sandakan, BN 20 PGA Beluran dan BN 15 PGA Sandakan.
Dr. Naintin menambah, Majlis Khas MA63 yang ditubuhkan memetik mengenai keutamaan pengambilan dan peningkatan penyertaan anak-anak muda dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam persekutuan.
“Pengisian Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri Sabah dan Sarawak diberikan keutamaan supaya diisi oleh Anak Sabah dan Sarawak dibangkitkan dalam Jawatankuasa Sosio Ekonomi (JKSE) pada 18 Febuari 2022,” jelasnya dan menambah kerajaan persekutuan perlu melihat cadangan itu bukan bersifat tuntutan semata-mata tetapi Sabah dan Sarawak berhak untuk meminta.
“…Fakta dari semangat pembentukan Malaysia, jelas bahawa kita berhak terhadap tuntutan ini,” katanya