Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hartawan termuda dunia saran belia ‘lupakan universiti’

0

SACRAMENTO: Hartawan paling muda di dunia, Austin Russell mengesyorkan golongan anak muda tidak meneruskan lagi pengajian di universiti.

Ini kerana Austin percaya `pendidikan tinggi’ tidak sesuai untuk semua individu.

Lapor Daily Mail, Austin, 28, dari California meninggalkan Universiti Stanford pada 2012 untuk memulakan syarikat sendiri, Luminar Technologies selepas dianugerahkan geran sejumlah AS$100,000 (RM466,741).

Ahli perniagaan itu menjadi hartawan semalaman pada Disember 2020 apabila Luminar Technologies diasaskannya ketika berusia 17 tahun, tersenarai syarikat awam.

Austin yang masih mengendalikan syarikat membangunkan teknologi sensor radar berasaskan laser untuk kereta, kini memiliki kekayaan kira-kira AS$2.6 bilion (RM12.1 bilion).

“Bagi saya, kolej bukan untuk semua orang, ia seperti pendekatan tradisional yang menentukan anda apa harus dilakukan.

“Kini, semua maklumat boleh diperoleh di hujung jari melalui aplikasi dalam talian.

“Ia bukan sesuatu boleh direalisasikan 50 tahun lalu, namun kini menerusi teknologi digital kita boleh mendapatkan semua maklumat secara pantas,” katanya dalam rancangan CNBC Make It.

Austin mendakwa dia masih akan berhenti pengajian separuh jalan walaupun tidak menerima geran untuk memulakan syarikat teknologinya.

Pada 2021, majalah Forbes menamakan Austin sebagai hartawan buatan sendiri termuda di dunia ketika ahli perniagaan itu berusia 26 tahun.

 

 465 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.