Helikopter Presiden Iran ‘kemalangan’, tidak diketahui jika Raisi berada di dalamnya – Media kerajaan
TEHRAN: Sebuah helikopter dalam konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terbabit dalam “kemalangan” hari ini, lapor media negara, tanpa menyatakan sama ada Presiden berada di atas pesawat itu.
“Beberapa laporan yang belum dapat disahkan mengatakan bahawa helikopter yang membawa Presiden telah mengalami kemalangan di wilayah Azerbaijan Timur.
“Keadaan cuaca yang teruk dan kabus tebal menyukarkan pasukan penyelamat untuk sampai ke lokasi kemalangan,” menurut televisyen kerajaan, sambil menambah bahawa usaha menyelamat sedang dijalankan.
Menurut beberapa media tempatan, Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian dan pegawai tempatan menaiki helikopter yang sama dengan Raisi.
Raisi dilaporkan sedang melawat wilayah Azerbaijan Timur hari ini di mana beliau merasmikan projek empangan dengan syarikat rakan sejawatannya dari Azeri, Ilham Aliev, di sempadan antara kedua-dua negara.
Raisi, 63, telah menjadi Presiden Republik Islam sejak Jun 2021. – AFP