GAZA: Tentera Israel meningkatkan serbuan di Hospital Al-Shifa di Gaza City untuk mengesan pejuang Hamas yang didakwa bersembunyi di pusat kesihatan itu.
Rejim Zionis turut menunjukkan kepada media barangan yang dikatakan ditemui di dalam hospital tersebut antaranya 15 senjata api, jaket kalis peluru dan barangan lain termasuk komputer riba.
Pemimpin kanan Hamas di Lubnan, Osama Hamdan segera menolak dakwaan Israel dan membidas tindakannya menayang bukti kononnya pusat kawalan Hamas berada di bawah Hospital Al-Shifa.
Ketika bercakap dalam sidang media di Beirut, Osama menafikan sekeras-kerasnya bahawa Hamas berpusat di bawah hospital di Gaza.
“Senjata yang kononnya ditemui Israel semasa serbuan ke atas al-Shifa telah dibawa masuk dan diletakkan sendiri oleh tentera Israel.
“Hamas sememangnya menjauhkan diri dari al-Shifa dan semua hospital-hospital lain di Gaza,” tegasnya.
Osama turut mempersendakan video yang dijana secara digital oleh Israel kononnya menunjukkan kompleks yang rumit di bawah hospital berkenaan dan mendakwa ianya satu pembohongan.-AGENSI