KENINGAU (Sabah, Malaysia) – Geran Komunal Tatalaan II yang mempunyai keluasan 3,530 hektar dibatalkan bagi membolehkan geran individu kepada seramai 813 benefisiari atau 475 isi rumah dikeluarkan, kata Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini.
Mashor berkata;
“Pada 23 Nov 2018 tahun lepas, kerajaan negeri melalui pejabat Setiausaha Hasil Bumi telah meluluskan geran komunal FR 154000683 dan melantik Syarikat Brilliant Junction Sdn Bhd., sebagai pemaju bagi tujuan pembersihan dan pengambilan sisa-sisa kayu,”
“Ini selaras dengan keputusan kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) membatalkan geran komunal dan mengeluarkan geran individu kepada benefisiari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Kursus Malim FMU 10 di sini (20 Feb 2020).
Mashor berkata, keputusan untuk membenarkan Brilliant Junction yang telah mendapat sokongan Jawatankuasa Kampung Tatalaan II untuk mengadakan usahasama melaksanakan pembersihan adalah langkah untuk mempercepatkan kerja-kerja pengukuran pecahbahagi lot-lot individu.
Menurutnya, benefisiari dijangka akan mendapat geran individu lebih cepat dan dapat mengurangkan kos pengukuran yang perlu ditanggung oleh syarikat pemaju yang dilantik Kerajaan Negeri.
Jelasnya, pemaju yang dilantik telah mendepositkan sejumlah RM2.48 juta sebagai salah satu syarat yang perlu dipenuhi sebagai jaminan menyelasaikan kerja-kerja pengukuran pecahbahagi lot-lot individu untuk para benefisiari.
Beliau berkata, dalam proses pemaju menjalankan kerja-kerja pembersihan, terdapat pokok-pokok mempunyai nilai komersial yang boleh dipasarkan sebagai menampung kos pembangunan dan pengukuran yang disyaratkan kepada mereka (pemaju).
“Kayu balak yang dihasilkan dianggap sebagai “byproduct” hasil pembersihan di dalam kawasan geran komunal tersebut” katanya.
Dalam hal ini tambahnya, melalui punca kuasa yang diperuntukkan di dalam Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan Hutan 1969, Ketua Konservator Hutan hanya akan meluluskan pengeluaran lesen Form IIB berdasarkan blok-blok pembangunan yang diusahakan secara berfasa mengikut pelan pembangunan tanah geran komunal yang dikemukakan oleh pemaju dilantik.
Dalam pada itu katanya, pengeluaran lesen Form IIB dilakukan oleh Jabatan Perhutanan adalah untuk memastikan semua hasil balak yang hendak dikeluarkan untuk proses kilang tempatan dikutip royaliti kepada Kerajaan Negeri.
Dalam perkembangan lain Mashor berkata, dari 8 Mac hingga Oktober 2019 Form IIB seterusnya diluluskan secara berfasa mengikut pembahagian pembangunan secara blok telah diluluskan lesen Form IIB.
Katanya, sepanjang kerja-kerja pembersihan oleh syarikat Brilliant Junction, seluas 1,054.95 hektar daripada 3,530 hektar telah dibangunkan.
“Namun pada 3 Julai 2019, Jabatan Perhutanan telah menerima permohonan peralihan lesen Form IIB kepada lesen Form 1 dari pemaju geran komunal Tatalaan II” katanya.
Menurut Mashor, kerja-kerja pembersihan menggunakan lesen Form IIB agak perlahan kerana pemaju perlu membuat permohonan secara berperingkat kepada Jabatan Perhutanan dan had tempoh lesen tersebut sah untuk dua bulan sahaja.
Oleh itu katanya, permohonan secara lesen Form 1 adalah lebih efisen kerana had tempoh lesen berkuatkuasa 12 bulan bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan di kawasan geran komunal Tatalaan II.
“Selain daripada itu laporan dan kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA)telah diperolehi dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD)sebagai antara prasyarat kelulusan lesen bertarikh 19 Julai 2019” katanya.
Jelasnya lagi, lesen membalak Form 1 telah diluluskan dan dikeluarkan berkuatkuasa dari 3 Disember 2019 hingga 2 Disember 2020.
Katanya, berdasar pembangunan yang dilakukan setakat ini, pemaju telah mematuhi peruntukan undang-undang di mana kerja-kerja pembangunan sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Sabah melalui Pejabat Perhutanan Daerah Nabawan, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang dan syarat-syarat yang berkuatkuasa.
Hadir sama Pegawai Perhutanan Wilayah Keningau Musa Salleh, Penolong Pegawai Daerah Keningau Edward Bungsu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul Isidore, wakil Pegawai Daerah Tambunan Danis Otigil dan Pegawai-Pegawai Perhutanan Daerah Keningau, Tambunan dan Sook.