Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jakarta berubah status, penduduk diminta tukar kad pengenalan

0

JAKARTA: Ketua Jabatan Penduduk dan Pendaftaran Awam Jakarta, Budi Awaluddin menyatakan semua penduduk di bandar raya ini perlu membuat semula kad pengenalan elektronik (KTP) selepas Jakarta berubah dari Daerah Ibu Kota Khusus (DKI) ke Daerah Khusus Jakarta (DKJ).

Status Jakarta sebagai ibu negara Indonesia akan diturunkan seiring dengan pemindahan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur.

“Pada tahun depan, Jakarta tidak lagi menyandang status DKI, malah menjadi DKJ.

“Sehubungan itu, semua penduduknya perlu menukar kad pengenalan baharu bagi mengubah status tersebut,” katanya.

Jelas Budi, pihak berkuasa tempatan berharap Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) akan meluluskan bajet dakwat percetakan kad pengenalan secara besar-besaran.

Pertukaran itu dijangka dilaksanakankan selepas rang undang-undang status DKJ diluluskan.

Dalam pada itu, Indonesia mula melakukan pembinaan kompleks kerajaan di ibu kota baharunya di Nusantara pada bulan lalu.

Kerajaan Indonesia juga akan mula membangunkan prasarana di lokasi baharu tersebut, termasuk sistem air, membasmi kuman dan jalan bertol.

Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur, dari Jakarta, untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di luar pulau Jawa.

Nusantara, nama yang dipilih sebagai menggantikan ibu kota Jakarta, merupakan projek mega yang dianggarkan bernilai AS$34 bilion (RM159 bilion).

Nusantara dirancang sebagai bandar mesra alam yang akan menggunakan tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya.

 

 408 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.