Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jelajah HATI INSKEN Perkasa Usahawan Kecil Sabah Melalui Latihan BisKaunselor & Industry Coach

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 24 Ogos – Program Hari Terbuka Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Kampus Sabah (HATI) terus menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan kecil dan mikro, dengan menyediakan latihan berstruktur melalui BisKaunselor dan Industry Coach berpengalaman.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata penganjuran HATI adalah sebahagian daripada 233 program latihan dan bimbingan INSKEN yang dirancang sepanjang tahun ini, termasuk Seminar Usahawan MADANI.

“Setakat ini, hampir 200 program telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara, manakala lebih 500 peserta telah menyertai siri HATI khusus di Sabah,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Tag Valley, Kota Belud, pada Ahad.

Beliau berkata, Sabah mencatatkan antara penyertaan tertinggi sejak pejabat kampus INSKEN ditubuhkan di negeri itu pada 2023. Siri HATI sebelum ini telah dianjurkan di Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, manakala destinasi seterusnya adalah Keningau dan Tawau.

Menurut Ewon, penganjuran HATI bukan sahaja memperluas akses kepada ilmu dan rangkaian keusahawanan, malah memberi penekanan kepada penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), yang mampu membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan keuntungan.

“Program seperti ini mencerminkan komitmen kerajaan melalui KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, menyediakan peluang pembelajaran inklusif, serta memastikan penjaja dan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam era digital,” ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya menjadikan pengalaman usahawan berjaya sebagai rujukan. Antara contoh yang diketengahkan termasuk Dapur Digital, Silent Teddies, Haos Ek? serta Koperasi Pemandu Teksi dan Limosin Langkawi, yang membuktikan kemampuan mengubah cabaran menjadi peluang perniagaan.

Ewon menambah, usahawan yang menyertai HATI perlu memanfaatkan sepenuhnya bimbingan serta pengetahuan yang diperoleh bagi memperkukuh daya saing perniagaan masing-masing, selain menjadi inspirasi kepada komuniti usahawan lain di seluruh negara.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.