JAKARTA: Pengarah Institut Kajian Politik Nusakom Pratama, Ari Junaedi berpendapat Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sedang menyampaikan politik damai selepas merujuk Ketua Umum Parti Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono (AHY) sebagai calon Presiden (capres).
Demokrat diketahui merupakan parti politik pembangkang kepada pemerintahan Jokowi sejak 2014.
“Jokowi sering menunjukkan politik itu berwajah kemanusiaan, bukan kekuasaan semata-mata dan saingan tidak semestinya perlu dikorbankan,” kata Adi.
Perkara itu dilihat selepas Jokowi menyentuh tentang beberapa tokoh yang dikatakan bakal menjadi calon Presiden pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 semasa sambutan Ulang Tahun ke-50 Parti Pembangunan Bersatu (PPP), di Tangerang kelmarin.
Beliau berkata, calon tersebut ialah Prabowo Subianto, Mahfud MD, Erick Thohir, Sandiaga Uno, dan AHY.
Menurut Ari, Jokowi cuba menghapuskan perpecahan atau polarisasi dalam masyarakat dengan menyebut nama AHY sebagai calon Presiden kerana tidak mahu perpecahan itu berulang pada pilihan raya akan datang.
“Perbezaan politik dalam kempen tidak boleh dipandang ringan dan Jokowi telah memberi pengajaran kepada orang ramai bahawa politik adalah persahabatan,” katanya.
Selain merujuk kepada tokoh calon Presiden, Jokowi turut meminta dinamik politik yang berlaku di negara itu tidak mengganggu kestabilan dan keselamatan negara berikutan keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu.
“Saya hanya mengamanahkan kita semua untuk mengekalkan kestabilan politik dan kestabilan keselamatan kerana ini sangat penting serta diperlukan pada masa ini kerana kita diancam dengan risiko krisis global yang sukar diramal dan dihitung,” kata Jokowi.