Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jong-un harungi banjir di Korea Utara untuk kempen propaganda

0

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un meredah kawasan berlumpur, menaiki bot penyelamat yang kecil di sungai melimpahi tebing dan secara peribadi mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Unit propaganda Korea Utara sedang mencipta kaedah baharu bagi menggambarkan Jong-un sebagai sentiasa berjuang bersama rakyat biasa ketika menangani kecemasan banjir yang memusnahkan kawasan barat laut negara itu.

Bencana alam kali ini dianggarkan menyebabkan ‘korban nyawa yang besar’, menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Korea Selatan yang menguruskan hubungan dengan negara jiran itu.

Percanggahan maklumat itu mungkin berlaku kerana kerajaan Korea Utara cuba menutup kegagalan menangani kesan bencana yang mungkin lebih besar daripada yang dilaporkan.

Gambar media kerajaan menyampaikan mesej bahawa Jong-un sangat mengambil berat terhadap rakyatnya dan turun padang bagi hadapi musibah, sekali gus mengangkat dirinya sebagai ‘pemimpin pujaan rakyat’.

Bandar Sinuiju, hab perdagangan yang disambungkan ke China melalui jambatan, dan daerah berdekatan Uiju dilanda hujan lebat dan banjir pada minggu terakhir bulan lalu.

Hujan lebat merosakkan kira-kira 4,100 rumah, menghanyutkan jalan raya dan rangkaian kereta api serta memusnahkan kira-kira 3,000 hektar tanah ladang, menurut laporan media negara Korea Utara.

Kira-kira 5,000 orang diselamatkan ettapi tidak kematian dilaporkan, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

“Orang yang diselamatkan terkejut melihat Jong-un menunggu mereka di lapangan terbang dalam hujan lebat dan bersorak, menitiskan air mata kesyukuran selain menunjukkan emosi yang tidak terhingga,” lapor KCNA.

Jumlah sebenar mangsa tidak diketahui dengan segera, tetapi saluran media Korea Selatan, TV Chosun melaporkan sekurang-kurangnya ratusan dianggarkan terbunuh, memetik sumber kerajaan yang tidak dikenal.

Kawasan yang terjejas adalah pengeluar utama bijirin dan sebarang kehilangan tanah pertanian menambah kepada krisis makanan di negara di mana Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kira-kira 40 peratus daripada penduduknya kekurangan zat makanan.

Bagaimanapun, bencana itu datang ketika Jong-un meraih populariti kerana ekonomi Korea Utara yang dikenakan pelbagai sekatan menunjukkan tanda pemulihan.

Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan berkata, walaupun sekatan dikuatkuasa, bahan dan makanan masih boleh masuk dari Russia sebagai pertukaran untuk peluru yang dibekalkan Pyongyang kepada Moscow bagi perang di Ukraine. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.