JAKARTA: Peraturan baharu mengenai kebenaran untuk menggugurkan kandungan oleh Polis Indonesia kepada mangsa rogol mendapat kritikan hebat daripada aktivis hak asasi manusia di negara itu.
Aktivis hak asasi manusia di Indonesia menganggap peraturan baharu berkenaan adalah regresif atau sesuatu yang terkebelakang.
Menggugurkan kandungan adalah salah di sisi undang-undang Indonesia melainkan jika si ibu mengalami komplikasi yang mengancam nyawa atau dalam keadaan tertentu seperti menjadi mangsa rogol.
Peraturan baharu itu menetapkan bahawa untuk diiktiraf sebagai mangsa rogol, wanita terbabit perlu mendapatkan dokumen yang hanya boleh dikeluarkan oleh polis di negara itu.
Sebelum ini, wanita yang menjadi mangsa rogol boleh mendapatkan dokumen berkenaan daripada pakar perubatan atau ahli psikologi.
Sementara itu, Jurucakap Polis Indonesia tidak segera untuk memberi maklum balas untuk menghuraikan peraturan baharu berkenaan yang merupakan sebahagian daripada undang-undang kesihatan yang lebih luas dan berkuat kuasa serta-merta, atau mengenai prosedur polis untuk menangani mangsa rogol di negara itu.
Menurut Maidina Rahmawati dari Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah Indonesia (ICJR), polis masih belum mengeluarkan sebarang peraturan terperinci mengenai bantuan khusus kepada mangsa rogol, termasuk menyediakan pelan kecemasan atau perkhidmatan pengguguran kandungan yang lebih selamat serta latihan khas untuk pihak berkuasa.
Sementara itu, kumpulan aktivis hak wanita di Indonesia mendakwa perubahan peraturan berkenaan mungkin akan menghalang mangsa rogol daripada meminta bantuan daripada pihak berkuasa.
“Secara umumnya wanita masih takut kerana budaya, norma dan juga agama,” kata Olin Monteiro, dari Kumpulan Feminis Jakarta, satu daripada beberapa kumpulan hak asasi manusia yang menggesa peraturan itu disemak semula.
“Nilai-nilai ini menghalang wanita mencari akses apabila mereka mempunyai hak untuk menamatkan kehamilan. Peraturan ini bermakna mangsa hanya mempunyai satu pilihan.
Mereka perlu merujuk ke polis. Jadi, ia sangat terhad,” katanya.
Aktivis Wanita Tunggal, Pawestri mendakwa peraturan baharu itu tidak akan membantu mangsa.
“Daripada benar-benar menyokong mangsa rogol, saya fikir ini akan menjadi regresif,” katanya. – REUTERS