YANGON: Ketua junta tentera Myanmar mendakwa ‘pakar asing’ membantu kumpulan bersenjata etnik minoriti dalam serangan terhadap tentera di sepanjang sempadan utara dengan China.
Pertempuran itu berlaku di seluruh negeri Shan di utara Myanmar selepas pakatan bersenjata tiga kumpulan etnik minoriti melancarkan serangan mengejut terhadap tentera pada Oktober lalu.
Kumpulan itu turut merampas puluhan kedudukan tentera dan sebuah bandar penting untuk perdagangan dengan China, yang didakwa penganalisis sebagai cabaran ketenteraan terbesar kepada junta sejak mereka merampas kuasa pada 2021.
Dalam satu kenyataan, Ketua Junta, Min Aung Hlaing, mendakwa, ‘pakar dron asing’ terbabit dalam serangan ke atas pos tentera bulan lalu di negeri Shan.
Tanpa mengulas lanjut, pemberontak etnik minoriti itu didakwa menggunakan ‘dron dengan teknologi canggih’ untuk menyerang kedudukan junta,
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dari negara mana ‘pakar asing’ itu berasal.
Katanya, pihak tentera berundur dari beberapa lokasi berikutan serangan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), yang menggunakan dron untuk menggugurkan bom, namun ia tidak memberikan butiran lanjut.
Sumber AFP berkata, pada 6 November lalu, seorang jeneral batalion infantri ringan terbunuh di Monekoe berhampiran sempadan China, dalam satu letupan bom yang dijatuhkan oleh dron.
Beijing adalah pembekal senjata utama dan sekutu junta tetapi hubungan mereka tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana kegagalan junta membanteras kumpulan penipuan dalam talian yang dikatakan Beijing menyasarkan warga China.
Awal bulan ini, penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di Yangon, menuduh China menyokong pakatan etnik minoriti, yang didakwa penganalisis sebagai langkah yang didalangi junta tentera.
Beijing sebelum ini menyatakan ‘ketidakpuasan hati yang kuat’ terhadap pertempuran di negeri Shan utara, lokasi saluran paip minyak dan gas yang membekalkan China dan rancangan rangkaian kereta api bernilai berbilion dolar.
Sejak menumbangkan kerajaan demokratik pada 2021, junta tentera ketika ini bergelut untuk mematahkan tentangan bersenjata anti-junta yang disebut sebagai Pasukan Pembebasan Rakyat (PLA).