Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kampung Terintidon Terima Manfaat Program Latihan Tapak PKK

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 24 Ogos 2025 – Penduduk Kampung Terintidon kini menikmati kemudahan baharu selepas Balai Raya kampung itu siap dibaik pulih melalui Program Latihan Tapak dan Khidmat Komuniti (PLTKK) anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata program tersebut menggabungkan dua matlamat utama kerajaan iaitu memperkasa kontraktor Bumiputera melalui latihan praktikal, serta menyalurkan manfaat terus kepada masyarakat luar bandar.

“Melalui PLTKK, kontraktor Bumiputera dapat meningkatkan kemahiran teknikal secara langsung sambil memperoleh mata CCD daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pada masa sama, infrastruktur komuniti dipertingkat untuk kegunaan penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Bertemu Mesra bersama penduduk dan kontraktor Bumiputera di sini, hari ini.

Balai Raya Kampung Terintidon telah dibaik pulih dengan kerja-kerja mengecat semula, menaik taraf tingkap dan kemudahan lain, serta pemasangan sistem lampu solar, melibatkan dana berjumlah RM50,000.

Sehingga 31 Julai lalu, 2,622 syarikat kontraktor Bumiputera di Sabah telah berdaftar dengan PKK dan menerima Sijil Taraf Bumiputera, termasuk 1,123 kontraktor gred G1. Menurut Ewon, usaha berterusan PKK untuk membangunkan kapasiti kontraktor dan memperkukuh hubungan dengan komuniti adalah bukti komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Pada program sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menganjurkan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU), menawarkan potongan harga 50 peratus bagi barangan asas seperti beras, tepung dan minyak masak. Subsidi itu melibatkan 30 peratus sumbangan SKM dan 20 peratus daripada Pejabat ADUN Kadamaian.

“JMKU bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, tetapi juga memperluas pasaran produk usahawan dan koperasi tempatan,” jelas Ewon.

Sebagai ADUN Kadamaian, beliau turut mengumumkan peruntukan Sentuhan Kasih berjumlah RM26,000 bagi projek kecil di kampung itu termasuk pembinaan pondok tandas, pondok tagal, pintu pagar balai raya, dapur gereja dan titian konkrit.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.