Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kapsul Orion kembali ke bumi selepas tamatkan misi mengelilingi bulan

0

FLORIDA: Kapsul Orion milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) melakukan pusingan akhir mengelilingi bulan dan dijangka kembali ke bumi hari ini, sekali gus menamatkan misi sulung program lunar Artemis, 50 tahun selepas pendaratan terakhir Apollo di bulan.

Kapsul Orion tanpa pemandu itu membawa krew simulasi tiga model berwayar dengan pengesan, akan mendarat menggunakan payung terjun ke Lautan Pasifik kira-kira pukul 9:39 pagi waktu tempatan berhampiran Pulau Guadalupe, di luar semenanjung Baja California, Mexico.

Orion menghampiri penghujung misi 25 harinya selepas melepasi kira-kira 127 kilometer di atas bulan dalam penerbangan lunar dan selama dua minggu selepas mencapai titik paling jauh di angkasa, hampir 434,500 kilometer dari bumi.

Selepas membuang muatan modul perkhidmatan yang menempatkan sistem roket utamanya, kapsul itu dijangka memasuki semula atmosfera bumi pada kelajuan 39,400 kilometer sejam atau lebih 30 kali ganda kelajuan bunyi untuk terjunan berapi selama 20 minit ke laut.

Orion berlepas pada 16 November dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, di atas Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) yang merupakan roket paling berkuasa dan terbesar di dunia sejak era Saturn V Apollo.

Pengembaraan pertama SLS-Orion, memulakan program pengganti Apollo, Artemis, yang bertujuan mengembalikan angkasawan ke permukaan bulan dekad ini dan mewujudkan pangkalan yang mampan di angkasa sebagai batu loncatan kepada penerokaan manusia di Marikh pada masa hadapan.

Secara kebetulan, kepulangan Artemis 1 ke bumi berlaku pada ulang tahun ke-50 pendaratan Apollo 17 di bulan oleh Gene Cernan dan Harrison Schmitt pada 11 Disember 1972.

Ia adalah yang terakhir daripada 12 angkasawan NASA yang berjalan di bulan daripada keseluruhan enam misi Apollo yang bermula sejak 1969.

 

 296 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.