SANDAKAN (Sabah, Malaysia): Tan Sri Richard Malanjun menegaskan bahawa keadilan bukan didominasi oleh orang kaya dan berkuasa.
Tetapi jelasnya pengamal perundangan perlu mengkaji perkara itu dengan serius terutama mereka yang berkemampuan tetapi layak mendapat bantuan perundangan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak itu berkata, isu yang sedang dihadapi oleh mahkamah di Sabah dan Sarawak ialah jumlah litigasi mewakili diri sendiri yang semakin meningkat, sama ada dalam kes jenayah ataupun sivil.
“Saya fikir ia bukan disebabkan oleh kekurangan peguam. Sebaliknya, ia melibatkan kos apabila mengambil khidmat peguam. Kedaulatan Undang-undang bukan sahaja perlu dizahirkan tetapi ia mesti dilaksanakan dan juga dihormati,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2017 di Sandakan pada Jumaat (6 Jan 2017).
Malanjum berkata beberapa perkara itu ialah dalam bentuk litigasi yang menyenuh kepentingan awam seperti isu berkaitan alam sekitar dan hak untuk hidup atau mencari nafkah hidup.
Katanya, seseorang cukup berpuas hati apabila keadilan dapat dilaksanakan dengan mengenepikan sikap tamak manusia terutama yang kaya dan berkuasa yang mungkin berfikir bahawa merosakkan alam sekitar dan menyalahgunakan kuasa adalah prerogatif mereka.
Dalam kaitan yang sama, Malanjun menjelaskan hampir semua mahkamah di Sabah dan Sarawak dapat melupuskan kes dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Secara keseluruhan tambahnya mahkamah di Sabah dan Sarawak di semua peringkat pada tahun yang lepas menunjukkan pencapaian yang baik.
“Tetapi ini tidak bermakna Hakim, Pesuruhjaya Kehakiman, pegawai kehakiman dan kakitangan harus berpuas hati dengan pencapaian mereka. Masih ada ruang untuk penambahbaikan,” tegasnya.
Turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk David Wong Dak Wah.