Oleh ROSANNA EDEZA
KERAJAAN kekal dengan pendirian tidak memaksa ibu bapa memberi vaksin kepada anak-anak meskipun peratusan golongan itu divaksin masih rendah melalui Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu juga sudah dibincangkan dalam Kabinet termasuk dos penggalak kepada penerima lain.
“Memang tidak ada paksaan untuk kanak-kanak divaksin. Malah, bagi dos penggalak juga tidak pernah ada paksaan tetapi kita tahu program vaksinasi untuk kanak-kanak ini masih baharu.
“Biasalah, bila sesuatu perkara baharu, orang ramai mungkin ada rasa takut dan bimbang, sama seperti ketika pemberian vaksin dos pertama di peringkat awal dulu. Ada yang takut hendak ambil, tetapi lama kelamaan orang mula berebut-rebut nak ambil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Iskandar Puteri (Johor) pada Jumaat.
Sehingga semalam, 9.6 peratus atau 341,960 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing melalui PICKids.
Jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir 50,000 orang berbanding kelmarin yang merekodkan 289,912 kanak-kanak atau 8.2 peratus dalam kumpulan usia sama.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, penerimaan masyarakat terhadap vaksinasi setakat ini sebenarnya semakin meningkat sama ada bagi golongan kanak-kanak mahu pun dos penggalak bagi golongan dewasa.
Perdana Menteri tidak menafikan kebimbangan orang ramai mendapatkan vaksin berikutan terlalu banyak cerita tidak sahih yang disebarkan.
“Saya tidak salahkan rakyat sebab memang ada yang takut jika ada benda tidak baik berlaku pada anak mereka. Tidak mengapa, saya tekankan di sini, tiada paksaan.
“Walaupun Kementerian Kesihatan sudah memberi jaminan tidak ada isu atau kesan buruk daripada pengambilan vaksin tetapi ia tetap terserah kepada rakyat,” jelasnya.
1,020 total views, 1 views today