Ebit didakwa 11 pertuduhan gangguan seksual
"Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu," – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, memberitahu media dalam satu kenyataan kepada media.
Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN
EBIT Lew didakwa di Mahkamah Litar Pejabat Daerah Tenom (Sabah, Malaysia), pada Jumaat ( 18 Feb 2022) diatas 11 pertuduhan kes berkaitan gangguan seksual.
Pendakwa dikenali berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Ebit atau nama sebenar, Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan pada Jun depan.
Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, Ebit berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Abd Jalil berkata, polis meminta kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar.
Pendakwa agama itu berada di Sabah untuk menjalankan kerja-kerja amal tiba di Pejabat Daerah Tenom pada jam 9 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu.
Suasana yang kebiasaannya tenang berubah menjadi lokasi tumpuan dengan kehadiran anggota polis mengawal pekarangan Pejabat Daerah Tenom sepanjang prosiding dijalankan.
Prosiding berlangsung selama lebih sejam sebelum pendakwah terkenal itu keluar kira-kira jam 10.30 pagi.
The Borneo Digest versama petugas media yang lain tidak dibenarkan masuk ke dalam pejabat daerah berkenaan.
Tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang prosiding dengan kawalan ketat pasukan polis.