Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

JaminKerja turun kadar pengangguran – PM

0

Oleh ROSANNA EDEZA

INISIATIF  JaminKerja Keluarga Malaysia menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion bertujuan mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu merangkumi tiga program utama iaitu Insentif Penggajian, Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau MySTEP dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

“Insentif Penggajian yang akan dilaksanakan oleh Perkeso dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan.

“MySTEP yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta JaminKerja.

“Upskill Malaysia yang dilaksanakan HRD Corp pula menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 pelatih,” katanya ketika  berucap di majlis Pelancaran Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Ismail Sabri berkata, Insentif Penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan membuat pengambilan pekerja terutamanya individu tidak aktif bekerja seperti penganggur dan golongan rentan bagi memastikan tiada rakyat dipinggirkan.

Jelasnya, setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk

mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisikan jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.

“Majikan yang layak, akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan,” tambahnya.

Perdana Menteri memberitahu, MySTEP pula menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk 2022.

“Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi kerajaan lain,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, kerajaan komited membantu komuniti usahawan menggaji dan mencipta peluang pekerjaan supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

Ujarnya, Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

Jelasnya, langkah itu bagi memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

“Malaysia sesungguhnya berada pada landasan betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini.

“Seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40”,  katanya.

Beliau kemudian menyeru para majikan termasuk agensi kerajaan, GLC dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang dilihat memberi manfaat besar kepada majikan dan pencari kerja.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.