COLOMBO: Keluarga wartawan Sri Lanka yang dibunuh, Lasantha Wickrematunge hari ini merayu kepada Presiden baharu yang dipilih untuk membuka semula siasatan ke atas pembunuhan yang turut mendapat perhatian antarabangsa itu.
Pengarang itu dibunuh ketika dia memandu ke tempat kerja pada Januari 2009 oleh penyerang yang kemudian dikenal pasti oleh polis sebagai anggota unit perisikan tentera yang dikaitkan dengan keluarga Rajapaksa yang pernah berkuasa di kepulauan itu.
Anak perempuan Wickrematunge, Ahimsa, berkata Anura Kumara Dissanayaka, Presiden berhaluan kiri pertama negara dipilih pada kelmarin, memberikan ‘rasa harapan baharu’ kepada keluarganya.
“Kami berharap kepimpinan ini akan membawa perspektif baharu untuk menangani kekejaman yang berlaku dalam sejarah hak asasi manusia Sri Lanka baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Wickrematunge menuduh setiausaha Kementerian Pertahanan ketika itu, Gotabaya Rajapaksa menerima sogokan dalam perolehan senjata, termasuk pembelian jet pejuang MiG terpakai dari Ukraine.
Keluarganya menuduh Rajapaksa, yang pada masa itu warga AS, bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu dan memfailkan tindakan di mahkamah California, namun ia ditangguhkan selepas pemimpin itu memperoleh imuniti apabila dia menjadi presiden pada November 2019.
Rajapaksa dilucutkan jawatan pada Julai 2022 selepas kumpulan perusuh menyerbu kediamannya berikutan kekurangan makanan dan keperluan lain selama berbulan-bulan lamanya.
Penggantinya, Ranil Wickremesinghe pula tidak membuka semula siasatan terhadap mana-mana pembunuhan era Rajapaksa, termasuk lebih sedozen wartawan dan pekerja media.
Wickrematunge, pengkritik terkemuka pentadbiran ketika itu, ditikam beberapa hari sebelum dia dijadual memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Gotabaya Rajapaksa.
Pembunuhan itu menyerlahkan pencabulan hak asasi manusia di Sri Lanka di bawah presiden Mahinda Rajapaksa, yang juga abang Gotabaya.
Kes Wickrematunge juga dilihat sebagai lambang bantahan kepada pulau yang bebas daripada hukuman untuk pencabulan hak dan berulang kali dibangkitkan oleh Pertubuhan Badan-Badan Bersatu (PBB) dan lain-lain.
Gotabaya Rajapaksa ketika dituduh memberi arahan kepada pasukan tentera bayangan yang didakwa terbabit dalam pembunuhan wartawan dan penentang politik semasa perang saudara Sri Lanka tetapi dakwaan itu dinafikannya. – AFP