NABAWAN (Sabah, Malaysia) — Usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Bobbey A Suan, berkata, ini bagi membolehkan PDRM membentaras jenayah.
“Ini termasuklah membanteras jenayah, penyeludupan barang, haiwan dan dadah rentas sempadan negara jiran” katanya.
Beliau berkata, penempatan agensi-agensi kerajaan seperti PDRM dan Imigresen juga sebagai langkah proaktif membentaras jenayah rentas sempadan.
“Walau bagaimamapun kerjasama daripada masyarakat setempat amat diperlukan bagi menjayakan Usaha ini” katanya semasa berucap pada program lawatannya bersama Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahrudin Mat Husain di Daerah Kecil Pagalungan baru-baru ini.
Pada masa sama kerjasama ketua-ketua masyarakat dengan anggota keselamatan polis dan Rela dalam memastikan keselamatan kampung juga adalah sangat penting demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, peranan ketua-ketua masyarakat adalah memastikan kesejahteraan penduduk dibawah jagaan masing-masing termasuklah dalam soal keselamatan dan kemajuan kampung.
“Oleh kerana Daerah Kecil Pagalungan terletak di sempadan Kalimantan Indonesia, maka usaha dan kerjasama membentaras jenayah rentas sempadan sangat dititikberatkan. Ketua masyarakat dan polis adalah satu kumpulan yang mampu mengekang kemasukan jenayah, penyeludupan dan pendatang tanpa izin, maka dengan adanya hubungan mesra antara kedua pihak ia sebagai pendekatan holistik untuk mencapai kualiti kawalan” katanya.
Bobbey berkata, peranan PDRM dalam membantu kerajaan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin, aman dan harmoni tidak dapat dinafikan.
Justeru itu katanya, masyarakat wajar menghargai usaha PDRM dan melupakan fahaman ideologi politik serta bersatu semula membanteras jenayah.
Hadir sama ialah, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau ASP Lee Nyuk Kim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Roger Appolonius, Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Traffik, Inspektor James Ak Ding dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muhammad Firdaus Shahrudin.
Sempena program tersebut seramai lima orang usahawan gerai di pengkalan Salung masing-masing menerima kunci gerai yang disampaikan oleh Bobbey.