PEMATUHAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dikalangan masyarakat di kawasan Pensiangan amat baik setakat ini.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Ghani Datuk Hj. Mohd Yassin berkata, masyarakat di kawasan ini patuh dengan PKP atas kesedaran bahawa pencegahan penularan wabak COVID-19 tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, kesedaran itu timbul apabila pengumuman dan informasi kerap kali dipaparkan sama ada melalui media elektronik dan cetak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) betapa penting pencegahan penularan wabak COVID-19 yang boleh mengorbankan ribuan nyawa jika ia tidak ditangani dengan bijak seperti yang berlaku di Wuhan China dan kini di Italy.
“Kita berharap pematuhan PKP dikalangan masyarakat di kawasan ini berterusan sehingga tempoh yang telah ditetapkan” katanya selepas menyampaikan sumbangan peribadi barangan makanan kepada yang memerlukan di Kampung Salong dan di Kampung Pegalungan (Pusat Oprasi Imigresen, Polis, Kesihatan, RELA dan Masjid) pada Isnin.
Pada masa sama Ghani memuji pasukan petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas dengan gigih dan semangat juang yang begitu tinggi walaupun menghadapi tugas yang berisiko.
“Kita sebagai pemimpin perlu terus memberi sokongan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertugas siang dan malam sepanjang tempoh PKP” katanya.
Mengenai sumbangan itu, Ghani berkata, ia dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh mereka yang kurang mampu semasa penguatkuasaan PKP.
Dalam misi penghantaran sumbangan itu, Ghani dan rombongan diiringi pihak KKM Nabawan, Polis, Pejabat Daerah dan jabatan yang berkaitan.