Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ketua Menteri Sarawak meninggal

0

SARAWAK (Malaysia): Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan  Sri  Hj. Adenan bin Satem, 72, meninggal dunia pada Rabu (11 Jan 2017) – 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke 72.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung  Samarahan, kira-kira jam 1.24 petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada satu sidang media di Kuching lewat petang pada Rabu berkata jenazah Ketua Menteri Sarawak itu akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak Petra Jaya jam 10 pagi esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula jam 10.30 pagi.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas solat zohor.
Abang Johari  turut mengumumkan, tujuh hari tempoh berkabung dan bendera dikibar separuh tiang untuk seluruh negeri Sarawak.
Esok Khamis (12 Jan 2017) diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri Sarawak, dan semua aturcara negeri yang telah dirancang dalam tempoh tersebut akan ditangguhkan.

Abang Johari turut memaklumkan Ketua Menteri Sarawak itu meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jantung.

Allahyarham menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb, 2014.

Douglas Ungah dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri sementara menunggu perlantikan Ketua Menteri yang baru, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Astana Negeri.
Adenan telah membawa Barisan Nasional mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, 2016.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memaklumkan perkara berkenaan menerusi akaun twitternya.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tan Sri Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah.
“Jasa Allahyarham kpd Sarawak amat besar, Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri.

Seluruh warga kerja Borneo Digest mengucapkan Takziah kepada keluarga Allahyaraham. Al-FATIHAH.

 

 

 

 

 735 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.