TABANAN (Indonesia): Sebilangan penduduk Kampung Beraban di daerah Selemadeg Timur di Bali resah selepas menjumpai beberapa kondom yang digunakan di sekitar di pondok tepi pantai milik mereka.
Lapor Detik.com, penduduk meluahkan kerisauan itu ketika menghadiri Majlis Perbualan Jumaat yang diadakan oleh Polis Selemadeg Timur kelmarin.
Jelas penduduk, mereka melihat kondom yang bertaburan ketika berehat selepas keluar ke laut atau memecahkan batu di pantai pada siang hari di pondok berkenaan.
“Belum ada gangguan keselamatan. Namun, kami berasa gelisah. Apabila berehat di pondok selalu ada kesan alat kontrasepsi yang bertaburan,” luah salah seorang penduduk, Gusti Made Seka
Gusti dan beberapa lagi penduduk yang mencari rezeki di pantai mengesyaki pondok-pondok mereka sering dijadikan lokasi melakukan kegiatan maksiat dan perbuatan tidak senonoh oleh pasangan muda yang tidak berkahwin pada waktu malam.
“Kami mohon bantuan pihak polis supaya perkara seumpama itu tidak berulang di kawasan tempat kami berehat,” kata Gusti.
Ketua Polis Daerah Selemadeg Timur, AKP Ketut Budiarsana menegaskan akan meningkatkan rondaan di pantai berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan kampung setempat untuk melakukan rondaan bersama dan berharap keselamatan serta keselesaan di sepanjang pantai dapat dikekalkan.
“Kita akan tingkatkan lagi rondaan untuk pencegahan. Ya, kita bersama pegawai kampung akan memantau dan mengawal kawasan pantai itu,” katanya.