Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kumpulan Muslim AS sokong Harris, anggap Trump boleh ‘mendatangkan bahaya lebih besar’

0

WASHINGTON: Kumpulan advokasi Muslim Amerika Syarikat (AS), Emgage Action, semalam menzahirkan sokongan kepada calon Presiden daripada Demokratik, Kamala Harris, meskipun kekal bimbang akan isu peperangan di Gaza.

Emgage Action menjelaskan ia berikutan bekas Presiden, Donald Trump sebagai calon daripada parti Republikan, dilihat sebagai boleh ‘mendatangkan bahaya’ lebih besar dengan janjinya untuk mengembalikan sekatan perjalanan yang menjejaskan negara-negara majoriti penduduk Islam.

Pendirian kumpulan itu menyusul ketika Harris dan Trump bersaing sengit untuk meraih dukungan menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November depan.

Pengundi Islam dan Amerika Arab dilihat berupaya memainkan peranan penentu dalam keputusan pengundian di Michigan, Pennsylvania, Georgia serta negeri-negeri ‘medan tempur’ yang lain.

Malah, sokongan undi mereka dilaporkan berjaya membantu Joe Biden menewaskan Trump pada pilihan raya 2020 untuk melangkah ke Rumah Putih.

Banyak kumpulan Muslim termasuk Emgage Action telah mengkritik pentadbiran Biden – yang mana Harris memegang jawatan sebagai Naib Presiden – kerana menyokong Israel dalam peperangan di Gaza.

Washington adalah pembekal senjata dan sekutu terbesar Israel, dengan sudahpun menghantar lebih 10,000 bom berkuasa pemusnah tinggi (900 kilogram) serta ribuan peluru berpandu Hellfire kepada Tel Aviv sejak perang terkini meletus di Gaza pada Oktober 2023, kata pegawai AS kepada Reuters pada Jun lalu.

Sebelum ini, Harris dilaporkan menggesa pelaksanaan segera gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, selain menzahirkan sokongan kepada hak Israel untuk mempertahankan diri serta hak rakyat Palestin bagi menentukan nasib sendiri.

“Dalam pada kami tidak bersetuju dengan dasar Harris secara keseluruhan, terutama berhubung perang ke atas Gaza, kami menyelami pilihan raya kali ini secara pragmatik dan berpendirian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emgage Action, Wa’el Alzayat, dalam satu kenyataan, sebagaimana dilaporkan REUTERS.

Sehubungan itu, beliau berkata, Emgage Action akan memberikan ‘panduan jujur’ kepada pengundi berhubung pilihan sukar di peti undi berkenaan.

Emgage Action yang menyatakan sokongan kepada Biden pada 2020, turut memaklumkan bahawa pihaknya menggerakkan sejuta pengundi Muslim pada pilihan raya terbabit.

Kumpulan itu menjelaskan, penyataan sokongan kepada Harris mencerminkan ‘tanggungjawab untuk mengalahkan Trump dan mempertahankan komuniti daripada pengembalian Islamofobio serta dasar-dasar lain yang memudaratkan.’

Setakat ini, pihak kempen Trump tiada memberi ulasan berhubung perkara itu. Kempen Trump telah mengadakan puluhan acara bersama pengundi Muslim dan Amerika Arab di negeri-negeri ‘atas pagar’.

Media sebelum ini melaporkan Trump mahu menguatkuasakan semula ‘sekatan perjalanan’ yang menghalang rakyat dari negara-negara disenaraikan – kebanyakannya mempunyai penduduk majoriti Muslim – daripada memasuki AS.

Dasar itu bagaimanapun dimansuhkan oleh Biden sejurus selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden daripada Trump pada 2021.

Sebelum ini, satu lagi blok pengundi besar yang ditunjangi pertubuhan akar umbi pro-Palestin, Uncommitted National Movement, menyatakan pendirian untuk tidak menyokong Harris, Trump ataupun calon pihak ketiga.

Namun, Harris sudahpun meraih dukungan beberapa kumpulan Muslim yang lebih kecil, termasuk Black Muslim Leadership Council Fund dan American Muslim Democratic Caucus.

Dalam perkembangan berasingan, Trump semalam mendakwa bahawa Tehran berkemungkinan adalah dalang di sebalik cubaan untuk membunuhnya, baru-baru ini.

Malah, Trump menegaskan akan ‘memusnahkan Iran sehingga hancur berkecai’ sekiranya beliau adalah Presiden dan berlaku serangan yang mengancam calon Rumah Putih atau bekas Presiden AS.

Kenyataan itu menyusul sehari selepas Trump memperoleh maklumat daripada pegawai perisikan AS yang mendakwa wujud ‘ancaman sebenar dan khusus daripada Iran untuk membunuhnya’, menurut kempen beliau.

Sementara itu, AFP pula melaporkan Trump semalam menuduh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, enggan ‘mencapai perjanjian’ untuk menamatkan peperangan dengan Russia.

“Kita berterusan memberikan berbilion dolar kepada seorang lelaki yang enggan mencapai perjanjian, iaitu Zelensky.

“Setiap kali beliau datang ke negara kita, beliau akan pulang dengan AS$60 bilion,” katanya sambil menyindir Zelensky sebagai ‘berkemungkinan adalah jurujual terhebat di bumi’, malah mendakwa Ukraine sudah musnah. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.