Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP bantu 3,896 usahawan PKS Parlimen Dungun

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasa perniagaan usahawan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara termasuk kawasan Parlimen Dungun, menerusi Perancangan Strategik Kementerian Tahun 2025.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sepanjang tahun lalu, KUSKOP melalui agensi-agensinya telah menyalurkan pembiayaan dan bimbingan kepada 3,896 usahawan di Parlimen Dungun.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan pembiayaan kepada seramai 3,501 sahabat usahawan AIM dengan nilai berjumlah RM39.6 juta; TEKUN Nasional menyalurkan RM8.9 juta kepada 286 usahawan.

“Manakala Bank Rakyat pula memberikan pembiayaan sebanyak RM1.5 juta kepada 59 usahawan dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah memberikan bimbingan keusahawanan kepada 50 usahawan di kawasan Parlimen Dungun pada tahun 2024,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Dungun, Haji Wan Hassan Mohd Ramli yang bertanya mengenai perancangan Kementerian dalam menyediakan sokongan kepada PKS di Parlimen Dungun.

Ewon berkata, secara keseluruhannya, KUSKOP melalui agensi-agensinya menyediakan sokongan kepada usahawan PKS merangkumi pelbagai aspek seperti pembiayaan, pembangunan kapasiti, bimbingan keusahawanan dan peluang pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan PKS berkembang, KUSKOP menyediakan skim pembiayaan melalui Bank Rakyat dan SME Bank serta melaksanakan program pembangunan PKS seperti Program Pembangunan Kapasiti Vendor, Business Accelerator (BAP) dan Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp.

“Selain itu katanya, SME Bank dan TEKUN Nasional menyediakan bantuan bagi meningkatkan adaptasi digitalisasi dan automasi perniagaan melalui SME Technology Transformation Fund (STTF) dan penyediaan Studio TikTok Shop.

“KUSKOP juga menggalakkan peningkatan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran produk di bawah INSKEN seperti Program Bimbingan Bisnes Bumiputera (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu (ME).

“SME Corp turut melaksanakan program galakan eksport dan penyertaan dalam misi perdagangan luar negara seperti Program Pengukuhan Eksport PKS (SMEs Go Global) dan Program Business Exports Program (BEP) di

bawah SME Bank dan menggalakkan penglibatan usahawan untuk menjalankan perniagaan dalam program-program anjuran KUSKOP,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.