KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sejumlah RM41 juta untuk pembangunan pendidikan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara, tahun lalu.
Beliau berkata, dana itu digunakan untuk pelbagai inisiatif antaranya pembangunan pendidikan, kebajikan sosial dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Bagi tahun 2024, YBR telah memperuntukkan sejumlah RM41 juta untuk penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah kepada 424 pelajar Institut Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA).
“Ia merangkumi pelaksanaan sebanyak 933 inisiatif CSR di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada 185,000 penerima,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Haji Mustafa Musa yang bertanya mengenai peruntukan dan perbelanjaan CSR YBR pada tahun 2024 dan tumpuan sasaran agihan peruntukan ini kepada Kawasan atau NGO.
Ewon berkata, dari segi agihan peruntukan, dana CSR YBR ini telah disalurkan ke seluruh negara, termasuk kepada 508 buah sekolah dan 321 organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dalam membantu komuniti.
“Peruntukan ini memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, sekolah yang memerlukan sokongan tambahan, serta NGO yang melaksanakan program pendidikan, pembangunan masyarakat, dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Beliau berkata selaras dengan agenda menokhtahkan kemiskinan tegar dan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi tumpuan besar ke atas agenda menangani insiden kemiskinan tegar pada tahun ini, KUSKOP sedang melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara.
“Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara ini memberi fokus tambahan kepada keperluan tambahan di Sabah dan Sarawak khususnya dalam menangani insiden kemiskinan tegar.
“Justeru, pada tahun ini, KUSKOP dengan kerjasama YBR, yang menerima dana daripada Bank Rakyat, melaksanakan program Ehsan@KUSKOP,” katanya.
Ewon berkata, program itu adalah satu inisiatif secara bersasar dan bersepadu dalam membantu membasmi kemiskinan di Sabah melalui pelbagai komponen antaranya keusahawanan dan peluang pendidikan.
“Projek rintis akan dilaksanakan di kawasan utara Parlimen Sabah yang merekodkan insiden kemiskinan tegar tertinggi berdasarkan daftar eKasih iaitu di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
“Bagi fasa pertama pelaksanaan, Kementerian melalui YBR sedang menyelaras penyaluran bantuan Program Pembangunan Pendidikan kepada Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih kategori Miskin Tegar dan Miskin di tiga kawasan tersebut.
“Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya.