Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP laksana program pembangunan khas pendidikan di Sabah – Ewon

0
Ewon (duduk tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama ribuan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Upko Nasional di Dewan Seri Antanom pada Sabtu

TENOM: Datuk Ewon Benedick berkata, mulai tahun ini kementeriannya akan melaksanakan program khas di Sabah.

“Agensi kementerian saya  … Yayasan Bank Rakyat (YBR)  akan mengendalikan program ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2025 UPKO Melalap, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, Sabtu.

Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia itu berkata, program Ehsan@KUSKOP itu telahpun dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Program Santuni MADANI Kuskop Bersama Komuniti Kota Belud sempena Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, baru-baru ini.

Katanya, YBR telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk tujuan itu dan tempoh pelaksanaan adalah setahun, bermula tahun ini.

Ehsan@KUSKOP adalah program pembangunan pendidikan bertujuan menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar kurang bernasib baik terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya agak kecil hati setiap kali mendengar Sabah dilaporkan memiliki daftar kemiskinan tegar yang tinggi, tetapi daripada saya mencari ruang siapa silapnya, saya mengambil pendekatan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan di Sabah dengan memperkenalkan Ehsan@KUSKOP.

“Melalui peruntukan daripada YBR, kita akan membiayai kos pengangkutan para pelajar yang tersenarai dalam e-Kasih supaya tiada lagi alasan ibu bapa tidak menyekolahkan anak mereka.

Menteri Pembangunan Keusahawanan Malaysia Datuk Ewon Benedick (tengah) meluangkan masa untuk pertanyaan Q, anak Ketua UPKO Sook, Mohd Khairy Abdullah @ Henry mengenai permainan squeeze toy

“Selain itu, kita juga akan memberikan bantuan awal pengajian, bantuan awal persekolahan, tuisyen dan bantuan-bantuan lain yang diperlukan oleh pelajar berkenaan.

“Sebagai pilot projek, kementerian memilik tiga daerah yang dikategorikan mempunyai daftar kemiskinan tegar yang tinggi iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2025 UPKO Melalap, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.

Ewon berkata, melalui Program Ehsan@KUSKOP, kementerian melalui agensi-agensinya akan membantu membangunkan ahli-ahli keluarga yang produktif menjadi usahawan kecil.

“Kita akan menggerakkan semua agensi kementerian kita untuk membantu membangunkan mereka yang tersenarai dalam e-Kasih menjadi usahawan supaya suatu hari nanti, mereka bukan sahaja terkeluar daripada belenggu kemiskinan tetapi akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Ewon berkata, beliau juga telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur di KUSKOP bagi memastikan tiada golongan usahawan, penjaja, peniaga kecil dan koperasi di Sabah dan Sarawak tercicir daripada menerima manfaat program dan pembiayaan yang disediakan kerajaan.

“Dasar ini adalah antara pendekatan kepimpinan saya kerana saya percaya pemimpin Sabah yang diberi ruang untuk menganggotai Kabinet Persekutuan dan mengetuai kementerian boleh membuktikan keupayaan memberikan fokus kepada Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur untuk memberi ruang kepada kementerian memberikan perkhidmatan terbaik di Malaysia Timur, seperti yang diperlukan oleh rakyat khususnya usahawan, penjaja, peniaga kecil, koperasi dan pelajar.

“Selain itu, kita juga telah memperkenalkan inisiatif khas antaranya Skim Geran Usahawan Bumiputera iaitu BEEP Plus khusus untuk Sabah dan Sarawak, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Premis Tamu Desa dan membuka lebih banyak pejabat agensi-agensi kementerian di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai majlis ini, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, ini adalah antara pendekatan UPKO menyantuni rakyat di seluruh Sabah, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di luar bandar.

“Kita telah memulakan program seumpama ini sejak beberapa tahun lepas sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Hari Raya dan Pesta Kaamatan atau perayaan-perayaan kebudayaan lain.

“Kita laksanakan program ini sepanjang tahun sebagai antara sumbangan UPKO kepada perpaduan rakyat dan keharmonian kaum di mana kita mahu memupuk kebersamaan bukan hanya di kalangan pemimpin Malaysia daripada Sabah tetapi lebih penting memupuk kebersamaan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.