Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP salur lebih RM600 juta kepada lebih 37,000 usahawan di Sabah bagi tahun 2023

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya telah menyalurkan lebih RM600 juta kepada lebih 37,000 usahawan di Sabah bagi tahun 2023.

Menterinya Datuk Ewon Benedick, agensi-agensi yang melaksanakan program dan skim pembiayaan itu ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank.

“KUSKOP melalui agensi-agensinya telah menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan perniagaan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan gerakan koperasi di Sabah sepanjang tahun 2023.

“AIM yang telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM195.2 juta melibatkan 31,828 orang Sahabat Usahawan.

“TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan mikro sebanyak RM121 juta kepada 5,468 usahawan, Bank Rakyat (RM164 juta) kepada 355 usahawan dan SME Bank (RM127.5 juta) kepada 98 usahawan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Verdon Bahanda (Kudat) yang bertanya jenis bantuan dan sokongan perniagaan serta jumlah bantuan atau sokongan khusus kepada pengusaha dan koperasi di Sabah.

Ewon berkata, bagi program pembangunan usahawan, SME Corp telah melaksanakan pelbagai program antaranya Tunas Usahawan Belia Bumiputra (TUBE), Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), Pembangunan Perniagaan Usahawan (BizME), Pengukuhan Eksport PKS (SME G Global) dan Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus.

“Bagi Program TUBE, seramai 244 usahawan muda telah mendapat kelulusan geran sebanyak RM3.66 juta, BEEP sebanyak 10 syarikat dengan pembiayaan geran RM2.08 juta.

“Pensijilan seperti Status PMKS dan SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE) di mana 1,052 syarikat telah mendapat pensijilan, BizME seramai 108 usahawan mendapat bantuan latihan dengan peruntukan RM320 ribu.

“Pengukuhan Eksport PKS (SME G Global) dan Galakan Eksport Bumiputera (GEB) sebanyak 5 syarikat memperoleh manfaat dengan peruntukan diluluskan berjumlah RM270 ribu.

“Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus iaitu geran khas untuk Sabah dan Sarawak di mana RM5 juta sediakan bagi Sabah dan setakat ini Kementerian telah menerima permohonan 20 usahawan Bumiputera Sabah,” katanya.

Ewon berkata, Instutut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 39 program bimbingan dan konsultasi kepada 1402 usahawan.

Katanya, bagi gerakan koperasi, lima koperasi menerima bantuan dan sokongan dana berjumlah RM458,500 di bawah Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi (eFast) dan Program Dagang Produk / Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (eDAPAT);

“Selain itu, lapan koperasi menerima pembiayaan RM30.74 juta di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM),” katanya.

Ewon berkata, bagi meningkatkan pengetahuan kepada anggota koperasi, sebanyak 46 kursus bimbingan telah dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan penyertaan seramai 4,497 anggota.

“Di bawah Jualan Madani Koperasi pula sebanyak RM161 ribu telah diperuntukkan bagi melaksanakan sebanyak 16 program,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan pakej rangsangan ekonomi koperasi pelancongan dengan dana sebanyak RM2 juta pada tahun hadapan di seluruh Malaysia.

 

 221 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.