Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Lagi bom meletup di laluan kereta api selatan Thailand, tiga maut

0

SONGKHLA (Thailand): Tiga pekerja kereta api terbunuh sementara empat yang lain cedera apabila sebuah lagi bom meletup di lokasi sama berhampiran kejadian pengeboman kereta api Sabtu lalu di daerah Sadao.

Polis dimaklumkan mengenai letupan kali kedua itu kira-kira pukul 6.24 pagi waktu tempatan di tapak di mana kereta api pengangkut bernombor 707 tergelincir dalam serangan pertama, di Tha Pho antara Khlong Ngae dan stesen kereta api Padang Besar.

Lapor Bangkok Post, bom itu menyasarkan pos komando penyelamat sementara kira-kira 400 meter dari lokasi letupan Sabtu lalu.

Pekerja yang cedera dikenali sebagai Yingsak Chumtree, Phumphan Phetsuka dan Nawarit Suwanchatree yang merupakan kakitangan cawangan State Railway of Thailand di daerah Hat Yai.

Mereka yang cedera ialah Noppadol Panma, Deeden Khongsom, Chatchai Nitchalanoont dan Theerapong Nukhong.

Letupan berlaku ketika ketujuh-tujuh mereka sedang mengumpul peralatan termasuk silinder gas untuk operasi menyelamat.

Letupan sebelum ini menyebabkan 20 buah gerabak kereta api pengangkut yang sarat dengan kepingan getah rosak teruk ketika dalam perjalanan ke Malaysia.

Beberapa letupan kuat menggegarkan wilayah Selatan sejak beberapa minggu lalu, termasuk letupan di flat polis di wilayah Narathiwat pada 22 November lalu dan serangan bom di stesen minyak di wilayah Pattani pada 16 November lalu.-AGENSI

 

 

 

 472 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.