HOUSTON: Seorang warga emas lelaki di Amerika Syarikat (AS) dipercayai tinggal bersama mayat yang sudah reput selama beberapa bulan sebelum bertindak meragut nyawa sendiri.
Lapor Mirror, menurut polis, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan kediaman di Harris County di Texas.
Jelas polis, pihaknya menerima panggilan kecemasan selepas jiran terhidu bau busuk dan ternampak lalat hurung di rumah berkenaan.
“Ketika mahu memasuki rumah itu, kami terdengar bunyi tembakan.
“Kami menemukan warga emas itu terbaring atas lantai bilik tidur dengan luka tembakan,” katanya.
Polis memaklumkan pihaknya turut menemukan mayat lelaki lain yang dalam keadaan reput teruk di sebuah bilik berasingan di rumah tersebut.
Tambah polis, punca kematian mayat yang reput itu masih dalam siasatan.
“Hubungan antara kedua-dua lelaki berkenaan masih belum diketahui namun nampaknya mereka tinggal bersama di rumah itu,” jelasnya.