HANOI: Seorang warga India berusia 31 tahun nyaris kehilangan nyawanya selepas memasukkan belut hidup, kira-kira 65 sentimeter (sm) panjang ke dalam duburnya.
Hospital Viet Duc di Hanoi pada 29 Julai memaklumkan, doktor hospital itu berjaya melakukan pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa pesakit berkenaan.
Pada 27 Julai lalu, jabatan kecemasan hospital berkenaan memaklumkan menerima seorang pesakit lelaki, selepas mengadu mengalami sakit perut yang teruk.
Selepas mendapatkan sejarah perubatan pesakit, pesakit mendedahkan memasukkan belut besar ke dalam duburnya pada sekitar tengah hari, hari sama sebelum dia hadir mendapatkan rawatan.
Pesakit segera diperiksa, menjalani pengimejan, ujian dan imbasan ultrasound.
Imej X-ray menunjukkan rangka radiopaque terletak secara mendatar di rongga perut dari kiri ke kanan.
Timbalan Pengarah Pusat Pembedahan Kolorektal dan Lantai Pelvis di Hospital Viet Duc, Le Nhat Huy berkata hospital segera mengatur pasukan pakar endoskopi dan pakar bius untuk melakukan kolonoskopi dalam usaha mengeluarkan objek asing melalui duburnya.
Huy berkata, pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan selepas usaha untuk mengeluarkan belut berkenaan dari dubur pesakit tidak berjaya.
Selepas perut pesakit dibedah, doktor menemui belut hidup kira-kira 65sm panjang dan 10sm garis lilit dalam rongga perut pesakit.
“Belut itu menggigit melalui rektum dan usus pesakit sebelum memasuki ke dalam rongga perut,” tambah Huy.
Selepas mengeluarkan belut itu, doktor turut mengeluarkan sebiji limau melalui duburnya, sebelum rektum dan ususnya dijahit semula.
Bagaimanapun, disebabkan pencemaran pada rektum dan kehadiran najis dalam rongga perut, doktor memutuskan untuk membuat kolostomi bagi mengelak najis mencemari kawasan jahitan.
Menurut doktor, ramai orang, terutamanya lelaki muda, mempunyai kecenderungan untuk mencari sensasi yang luar biasa menggunakan alat mainan seks.
Hospital Viet Duc sebelum ini melakukan pembedahan untuk membuang pelbagai objek melalui dubur pesakit, seperti botol minyak angin, cawan kaca dan alat mainan dewasa.
Bagaimanapun, ini adalah kes pertama membabitkan haiwan hidup, khususnya belut, dimasukkan ke dalam rektum dan menyebabkan perforasi.
Huy memberi amaran supaya orang ramai tidak memasukkan haiwan hidup melalui dubur untuk mendapatkan sensasinya.
“Belut boleh hidup dalam keadaan anaerobik untuk jangka masa yang lama dan mempunyai keupayaan untuk menggigit melalui saluran gastrousus – AGENSI