Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pembunuhan Haniyeh berisiko heret AS ke kancah perang di Asia Barat

0

TEHRAN: Pembunuhan kejam pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran memusnahkan objektif berkembar Amerika Syarikat (AS) dalam mencapai gencatan senjata di Gaza dan meredakan ketegangan di Asia Barat.

Isnin lalu, dua hari selepas Israel menyalahkan Hizbullah Lubnan atas serangan yang mengorbankan 12 orang di Dataran Tinggi Golan, pegawai Rumah Putih, John Kirby, mengulangi sokongan AS untuk Israel.

Bagaimanapun, serangan maut yang meragut nyawa Haniyeh awal pagi semalam, menggendalakan segala perancangan bagi mencapai kedamaian serantau.

Namun, Kirby menekankan bahawa Washington masih mahu meneruskan usaha meredakan ketegangan serantau.

“Kami percaya bahawa masih ada masa dan ruang untuk penyelesaian diplomatik,” katanya.

Bagaimanapun, selepas pembunuhan Haniyeh, Setiausaha Negara, Antony Blinken berkata, kerajaan AS tidak ‘mengetahui atau terbabit’ dalam pembunuhan itu, yang berlaku beberapa hari selepas Netanyahu melawat AS.

“Sangat sukar untuk membuat spekulasi, dan saya sudah belajar selama bertahun-tahun untuk tidak membuat spekulasi mengenai kesan satu peristiwa terhadap sesuatu yang lain.

“Jadi, saya tidak boleh memberitahu anda apa maksudnya,” katanya ketika diminta memberikan penilaiannya mengenai apa yang mungkin berlaku seterusnya.

AS kini bersiap sedia untuk menghadapi pemilihan presiden pada 5 November ini, yang akan menyaksikan peralihan kuasa kepada presiden baharu

Ketika ini sesiapa sahaja berkemungkinan menang, selepas Presiden AS, Joe Biden menarik diri, digantikan Naib Presidennya, Kamala Haris, yang dijangka berdepan bekas Presiden AS, Donald Trump.

Penganalisis berkata, ketidakpastian mengenai apa yang akan berlaku di AS memberi manfaat kepada Netanyahu untuk melakukan apa saja buat masa sekarang.

Ini kerana baik Harris atau Trump, membayangkan akan memberi tekanan yang lebih keras untuk menamatkan perang di Gaza. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.