Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Mahkamah Perlembagaan gantung tugas PM Thailand

0

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini, ketika bapanya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memfitnah institusi diraja — perkembangan terbaru yang menjejaskan dinasti politik dominan di Thailand.

Pentadbiran Thailand sejak bertahun-tahun terbahagi antara golongan konservatif yang pro-tentera dan pro-kerajaan, serta klan Shinawatra yang dianggap sebagai ancaman kepada tatanan sosial tradisi negara.

Paetongtarn menerajui pentadbiran kurang setahun lalu dan kini digantung tugas, sementara Mahkamah Perlembagaan menyiasat sama ada beliau melanggar etika menteri susulan ketegangan diplomatik dengan Kemboja.

Beliau memberitahu pemberita di Wisma Kerajaan Bangkok bahawa beliau menerima keputusan itu.

“Niat saya sentiasa untuk melakukan yang terbaik untuk negara.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Thailand yang berasa kecewa dengan perkembangan ini,” katanya.

Siasatan akan mengambil masa beberapa minggu atau bulan dan media Thailand melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Suriya Jungrungreangkit dari parti Pheu Thai, dijangka menggantikan beliau buat sementara waktu.

Seorang tokoh politik pembangkang menyeru supaya diadakan pilihan raya baharu.

Rangsiman Rome, timbalan ketua Parti Rakyat — pewaris Move Forward yang memenangi undi terbanyak dalam pilihan raya umum 2023 — memberitahu AFP bahawa Paetongtarn ‘kehilangan autoriti moral’ dan keputusan itu ‘tidak mengejutkan’.

“Membubarkan Parlimen adalah penyelesaian,” katanya.

Dalam keadaan berasingan hari ini, bapa Paetongtarn, Thaksin, tiba di mahkamah jenayah Bangkok untuk menghadapi pertuduhan melanggar undang-undang lese majeste yang ketat bagi melindungi Raja Thailand daripada kritikan.

Penganalisis politik Thailand, Thitinan Pongsudhirak, memberitahu AFP bahawa terdapat kaitan langsung dan jelas antara dua kes berkenaan dan jenama keluarga Shinawatra kini mengalami ‘penghakisan kritikal’.

Pertikaian wilayah lama antara Thailand dan Kemboja mencetuskan pertempuran rentas sempadan pada Mei lalu, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Ketika Paetongtarn menghubungi bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, untuk membincangkan ketegangan itu, beliau memanggilnya ‘pak cik’ dan menyifatkan seorang komander tentera Thailand sebagai ‘lawan’, menurut rakaman bocor yang mencetuskan reaksi negatif meluas.

Sebuah parti konservatif meninggalkan gabungan pemerintah dan kira-kira 10,000 orang berhimpun membantah pentadbiran Paetongtarn di Bangkok hujung minggu lalu.

Kadar kelulusan beliau merosot kepada hanya sembilan peratus, turun daripada sekitar 30 peratus tiga bulan lalu, menurut tinjauan sebuah universiti di Bangkok.

Ahli Parlimen konservatif menuduh Paetongtarn tunduk kepada Kemboja dan melemahkan tentera, serta mendakwa beliau melanggar peruntukan Perlembagaan yang meletakkan syarat integriti dan etika dalam kalangan menteri.

Mahkamah Perlembagaan menerima aduan itu untuk disiasat dan menyatakan dalam kenyataan bahawa dengan majoriti 7–2 ia menggantikan responden dari tugas Perdana Menteri mulai 1 Julai sehingga Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan akhir.

Raja Thailand hari ini meluluskan rombakan Kabinet Paetongtarn selepas sekutunya meletak jawatan.

Paetongtarn melantik dirinya sebagai Menteri Kebudayaan dan dijadualkan mengambil-alih jawatan itu pada Khamis, tetapi belum jelas sama ada beliau boleh berkhidmat semasa dalam siasatan.

Bapa beliau, Thaksin, digulingkan dalam rampasan kuasa 2006, manakala kakaknya, Yingluck Shinawatra, mengalami nasib sama pada 2014 dan beberapa Perdana Menteri daripada pergerakan politik mereka turut digugurkan melalui keputusan mahkamah.

Selepas 15 tahun berada di luar negara, Thaksin pulang ke Thailand pada Ogos 2023.

Beliau terus disabitkan hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang lama, namun dipindahkan ke hospital atas faktor kesihatan dan kemudian mendapat pengampunan diraja.

Tuduhan terhadap Thaksin berpunca daripada temubual 2015 yang diberikannya kepada media Korea Selatan dan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, kira-kira 12 penyokongnya berhimpun untuk memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Bagaimana dia diperlakukan selama bertahun-tahun ini tidak adil,” kata Wanlee Iamcharat, 79, bekas ahli fisioterapi, kepada AFP.

“Saya percaya dia tidak bersalah.”

Seorang pegawai mahkamah mengesahkan kepada AFP bahawa perbicaraan bermula pada pagi ini dengan kehadiran Thaksin tetapi media tidak dibenarkan hadir.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak beliau tentang perasaannya, tetapi saya fikir beliau nampak tenang,” kata peguamnya, Winyat Chatmontri kepda AFP di luar mahkamah. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.