KETIKA mangsa-mangsa banjir di daerah Tenom dan Beaufort berlapang dada dengan jaminan diberi perhatian serius oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, pekebun dan petani di Kg. Marampong Bingkor pula kecil hati kerana sehingga kini belum ada kalibat pemimpin yang menziarahi untuk bertanya khabar dengan mereka.
“Kebun sawit saya musnah dihakis Sungai pegalan .. tiga ekar berusia enam tahun dan tiga ekar lagi berumur dua tahun,” Kata Sani Moridjan, 72.
Sani turut memberitahu berhakter kebun getah penduduk termasuk miliknya musnah dihakis dan sebahagiannya ditengelami banjir.
“Kami kehilangan sumber pendapatan,” tambahnya dan mendakwa belum ada wakil-wakil kerajaan untuk melawat mereka.
Kebun sawit dan getah serta sawah di kawasan rendah di Kg. Marampong sering ditengelami banjir setiap kali musim tengkujuh dan ia bukan pertama kali berlaku.
“Semuanya berpunca daripada limpahan Sungai Pegalan .. masalah hakisan sungai ini telah diadukan kepada kerajaan sejak sekian lamanya, namun sehingga kini belum ada titik penyelesaian,” Tambah Jarisin Gulida.
Seminggu yang lalu (24 Mei 2021) Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dipetik sebagai berkata dalam satu persidangan media di Tenom bahawa beliau memandang serius nasib mangsa-mangsa banjir di Tenom dan Beaufort.
“Saya datang ke sini untuk melihat sendiri keadaan di sini dan saya melihat banyak rumah terjejas dan banyak orang kehilangan tempat tinggal,” katanya Hajiji, dipetik sebagaimana yang diterbitkan oleh sebuah stesen penyiaran kebangsaan.
Penduduk Marampong bagaimanapun kesal kerana jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah itu tidak merangkumi kerosakan harta benda yang dihadapi oleh mereka.
“Kami merayu kepada kerajaan supaya nasib kami juga diambil perhatian,” Jelas Jarisin.
The Borneo Digest sedang berusaha untuk mendapatkan reaksi daripada Wakil Rakyat Bingkor. – Oleh: EKOK AMIN.