Oleh DG HENRY
MAYAT seorang kanak-kanak, Muhammad Azwa Azman, 8, yang lemas di sungai Kg. Batu Puteh, Kinabatangan selasa lalu berjaya ditemui 3.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang pada Khamis.
Ditemukan kira-kira jam 1.50 petang, keadaan mangsa sungguh menyeyat hati dengan kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala tidak ditemui dipercayai dibaham buaya.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi Selasa lalu dan segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, mangsa dipercayai lemas di sungai tersebut semasa mandi-manda bersama rakannya.
“Kaedah pencarian pada hari ketiga diubah atas faktor penurunan paras air sungai. Pasukan SAR menyelongkar rimbunan ranting kayu dan sampah sarap yang tersangkut di tepi sungai bertujuan agar dapat menemui tanda-tanda atau maklumat mengenai mangsa.
“Mayat mangsa akhirnya ditemukan kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada IPD Kinabatangan untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR yang turut disertai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar dan PDRM serta dibantu orang awam ditamatkan lebih kurang pukul 2 petang.