Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Menteri, Timbalan tiada gaji 3 bulan

0

MENTERI dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021 untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam Perutusan Khas Bantuan PKP3.0 sebentar tadi.

“Sebagai penutup kepada inisiatif PEMERKASA+ ini, sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan Menteri dan Timbalan Menteri dengan tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan untuk melaksanakan lockdown adalah satu langkah yang sukar tetapi terpaksa dibuat.

Tegas beliau sama ada lockdown yang dilaksanakan akan berjaya atau tidak semuanya terserah rakyat serta ketentuan Ilahi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah – stay at home – saya ulangi stay at home – dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.

“Kepada para frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu.

“Saya juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan COVID-19 ini diberikan kesembuhan segera, amin ya rabbal alamin.

“Saya dengan penuh dukacitanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa
COVID-19 yang telah meninggal dunia. Mudah-mudahan anda semua tabah menghadapi dugaan yang amat berat ini,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin dalam perutusannya mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan atau Pemerkasa+ bernilai RM40 bilion berikutan pelaksanaan PKP3.0 bagi membantu rakyat yang terkesan.-SM

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.