TUARAN (Sabah, Malaysia): Wakil Rakyat Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau memperuntukkan RM1 juta kepada sebuah parti komponen BN – Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kiulu dan Tamparuli, dalam langkah inovatif bagi memastikan rakyat di kedua-dua kawasan itu mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan komprehensif.
“Masing-masing RM500,000 kepada Kiulu dan Tamparuli daripada Tabung Anggota Parlimen,” katanya ketika menyampaikan cek berkenaan kepada Wakil Rakyat Kiulu Datuk Joniston Bangkuai pada jumaat (9 April 2016).
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) itu berkata, Barisan Nasional (BN) perlu melakukan inovasi politik untuk bekerja sebagai satu pasukan, bagi memastikan parti gabungan itu terus relevan dan sentiasa dihati rakyat.
“Kami ingin bekerjasama dan mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat. (Disebabkan komitmen sebagai menteri) Saya tidak dapat berada di kawasan sepanjang masa, maka parti komponen BN perlu berganding bahu bagi memastikan perkhidmatan dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata BN telah membuktikan kemampuannya melalui rekod pencapaian yang terbaik. Madius berharap Upko, PBS dan parti komponen BN lain di Kiulu dan Tamparuli terus bekerjasama bagi memastikan BN dapat mempertahankan Kiulu dengan majoriti besar serta menawan kembali Tamparuli pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pandangan Madius mendapat reaksi positif daripada Datuk Bangkui dengan berkata, peruntukan yang diberi itu sebagai pemangkin untuk bekerja sebagai satu pasukan.
Turut berada di majlis itu ialah Ketua Bahagian PBS Kiulu, Datuk Louis Rampas yang turut memuji Madius kerana mengambil langkah luar biasa itu.