Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Naib Canselor UMS Raikan Kehadiran Pelajar Kembar di UMSKAL

0

LABUAN, 28 Sept 2025 – Suasana pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini mencatat detik istimewa apabila Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, menyambut kehadiran sepasang pelajar kembar dari Kudat, Sabah, yang turut melanjutkan pengajian di kampus tersebut bagi sesi akademik 2025/2026.

Pasangan kembar berkenaan, Sharifah Sahirah Azlan dan Sharifah Sakirah Azlan, memilih bidang pengajian berbeza namun sama-sama melihat UMSKAL sebagai platform terbaik untuk memulakan perjalanan akademik mereka.

Sharifah Sahirah, adik dalam pasangan kembar itu, memilih Program Teknologi Maklumat (Teknologi Multimedia) kerana meyakini potensi kerjayanya yang luas dalam era digital. Sementara itu, kakaknya, Sharifah Sakirah, memilih Program Pemasaran Antarabangsa, yakin ia menawarkan prospek kerjaya yang kukuh dalam pasaran perniagaan global.

Menceritakan perjalanan mereka ke Labuan, pasangan ini berkongsi pengalaman dari Kota Kinabalu ke Menumbok, sebelum menaiki bot laju ke Labuan dan seterusnya menggunakan bas universiti menuju ke UMSKAL.

Prof. Datuk Dr. Kasim menzahirkan rasa bangga dengan kesungguhan pelajar baharu, khususnya pasangan kembar ini, yang sanggup merantau demi menuntut ilmu.

“Kehadiran pelajar kembar ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di UMS. Walaupun mereka datang sebagai pasangan kembar, setiap seorang mempunyai peluang untuk menyerlah dalam bidang pilihan masing-masing,” katanya.

Turut hadir meraikan saat bersejarah itu ialah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal; Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Psikologi merangkap Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, Dr. Rizal Zamani Idris; serta Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Ketua Pentadbiran Fakulti Komputeran, Molly Donna Awang Sham.

Sehingga jam 12 tengah hari pada hari kedua pendaftaran, jumlah pelajar baharu yang telah mendaftar ialah 331 pelajar FKAL dan 112 pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI). Angka ini dijangka terus meningkat menjelang tamat tempoh pendaftaran esok.

Kehadiran pasangan kembar ini menjadi simbolik kepada keunikan pengambilan pelajar UMS pada tahun ini, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian dan komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.