Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Naik Taraf Kepayan Square: Ewon Gerakkan Kerjasama Antara Kerajaan Demi Usahawan Tempatan

0

PENAMPANG, 22 Julai 2025 – Usaha menaik taraf kawasan perniagaan Kepayan Square memasuki fasa penting apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyerahkan kanopi kepada 72 usahawan tempatan yang akan berpindah sementara ke tapak baharu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan infrastruktur asas.

Pembangunan semula Kepayan Square ini melibatkan gabungan dana berjumlah RM2.4 juta daripada tiga sumber utama – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) masing-masing menyumbang RM1 juta, manakala Pejabat ADUN Kepayan memperuntukkan RM400,000.

Langkah pemindahan ini bukan sekadar soal logistik, tetapi sebahagian daripada perancangan strategik untuk membina kemudahan perniagaan yang lebih tersusun, selesa dan lestari kepada golongan usahawan mikro dan informal yang selama ini beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

“Sejurus saya dilantik sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya bersama ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang, mengenal pasti keperluan pembangunan semula kawasan ini. Kami kemudian mengusulkan peruntukan ini kepada YB Nga Kor Ming, Menteri KPKT, dan disambut dengan komitmen yang jelas,” kata Ewon.

Beliau turut menekankan peranan masing-masing dalam pelaksanaan projek: KPKT dan DBKK memfokus kepada pembinaan fizikal utama termasuk bumbung dan infrastruktur asas, manakala peruntukan Parlimen Penampang digunakan untuk menyediakan kemudahan asas kepada usahawan seperti kanopi, meja dan kerusi sepanjang tempoh perpindahan.

Penaiktarafan Kepayan Square, yang terletak di kawasan berpenduduk padat dan berbilang etnik, disasar bukan hanya untuk memberi impak ekonomi kepada usahawan kecil, tetapi juga memperkukuh fungsi sosial dan komuniti kawasan tersebut.

“Apabila siap kelak, kawasan ini bukan sahaja akan menjadi ruang niaga moden, tetapi juga boleh dimanfaatkan untuk sambutan perayaan, program kerajaan dan aktiviti kemasyarakatan,” tambah Ewon.

Projek ini mencerminkan satu model kerjasama antara wakil rakyat pelbagai peringkat dan agensi kerajaan yang bertumpu pada penyelesaian isu akar umbi dengan pendekatan inklusif dan berpandangan jauh.

Turut hadir dalam majlis penyerahan ialah Datuk Jannie Lasimbang, Timbalan Ketua Pengarah DBKK Robert Lipon, serta pemimpin tempatan lain.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.