PENAMPANG, 22 Julai 2025 – Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam usaha merombak struktur perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), segmen yang merangkumi lebih 97% daripada keseluruhan entiti perniagaan negara.
Pelancaran 23 siri Seminar e-Invois Usahawan MADANI oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menandakan permulaan fasa baharu dalam strategi pendigitalan nasional – di mana e-Invois dijadikan instrumen utama memperkukuh kecekapan operasi dan ketelusan dalam ekosistem keusahawanan.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, menyatakan dengan tegas bahawa inisiatif ini bukan sekadar pelaksanaan teknologi, tetapi langkah taktikal ke arah penskalakan PMKS – dari entiti kecil tidak formal kepada perniagaan mapan yang boleh menyertai pasaran terbuka dan pasaran modal.
“Langkah pertama ke arah penskalaan ialah mengadaptasi e-Invois sebagai norma perniagaan. Ini bukan opsyen, ini prasyarat untuk bertahan dan berkembang,” ujar beliau.
Sistem e-Invois, yang sebelum ini dikaitkan dengan pematuhan percukaian, kini dilihat sebagai asas kepada pembentukan perniagaan moden yang berdaya saing. Ia membolehkan penjanaan data masa nyata, pengurusan kewangan yang lebih sistematik serta meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan dan pelaburan.
Namun, pelaksanaannya tidak bebas daripada cabaran. Jurang literasi digital dalam kalangan usahawan mikro dan luar bandar, serta kekangan sumber dalam penyesuaian sistem perakaunan, masih menjadi hambatan besar.
KUSKOP melalui INSKEN dan agensi lain seperti SME Corp dan LHDN, kini menggalas peranan kritikal bukan hanya dalam pemindahan teknologi, tetapi juga dalam pengubahan budaya perniagaan.
Dalam konteks dasar, pelaksanaan e-Invois ini merupakan pelantar awal kepada agenda RMK13 (2026–2030), yang akan memfokus kepada penskalaan PMKS – menjadikan mereka bukan sahaja penyumbang ekonomi tempatan, tetapi juga pemain serantau yang kompetitif.
Inisiatif ini turut sejajar dengan visi Malaysia MADANI yang menjunjung prinsip tadbir urus berintegriti, ketelusan, dan kelestarian.
“Kita tidak boleh bercakap soal pembangunan inklusif tanpa membina kapasiti perniagaan yang moden dan berstruktur. E-Invois ialah asasnya,” kata Ewon.
Transformasi digital PMKS melalui e-Invois adalah ujian sebenar keupayaan Malaysia membina ekonomi yang lebih tersusun dan tahan lasak. Jika berjaya, ia bukan sahaja meningkatkan produktiviti perniagaan kecil, tetapi juga menandakan peralihan daripada ekonomi separa formal kepada ekonomi berasaskan data dan integriti.
Seminar ini bukan sekadar sesi penerangan – ia adalah isyarat jelas bahawa Malaysia komited menjadikan pendigitalan sebagai teras strategi pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan.
![]()