ISLAMABAD: Pakistan hari ini melancarkan serangan udara terhadap tujuh lokasi dalam wilayah Afghanistan, sebagai tindak balas serangan bom nekad, didakwa dilakukan oleh kumpulan militan disokong Afghanistan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan, serangan terpilih itu dibuat berpandukan risikan tentera terhadap tujuh kem dan lokasi persembunyian pengganas, sambil memetik tiga serangan sejak permulaan Ramadan.
Menurut sumber keselamatan Afghanistan, serangan membabitkan serangan dron ke sebuah sekolah agama di wilayah Paktika, selain serangan di wilayah Nangarhar di sepanjang sempadan Pakistan dan Afghanistan.
Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, menerusi ciapan di X awal pagi tadi, berkata tentera sudah melaksanakan tindakan disifatkan sebagai ‘operasi terpilih berasaskan risikan’ terhadap tujuh kem milik Taliban Pakistan yang juga dikenali sebagai Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP) serta sekutunya.
Katanya, sekutu kumpulan Daesh juga menjadi sasaran di sempadan, selain menegaskan Pakistan ‘sentiasa berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau itu’, namun keselamatan dan kesejahteraan rakyat Pakistan kekal sebagai keutamaan.
“Pakistan mempunyai ‘bukti kukuh’ mengenai serangan terkini, termasuk insiden bom berani mati, menyasarkan masjid Syiah di Islamabad, mengorbankan 31 mangsa awal bulan ini, dilakukan militan yang bertindak atas ‘arahan kepemimpinan dan pengendali berpangkalan di Afghanistan’.
“Pakistan berulang kali menggesa pemerintah Taliban Afghanistan mengambil langkah bermakna bagi menghalang kumpulan militan daripada menggunakan wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan di Pakistan, namun tiada tindakan substantif diambil.
“Masyarakat antarabangsa juga gesa memberi tekanan terhadap pihak berkuasa Taliban Afghanistan supaya mematuhi komitmen di bawah Perjanjian Doha supaya tidak membenarkan wilayah mereka digunakan untuk menentang negara lain,” katanya.
Perkembangan terkini itu berlaku selang beberapa jam selepas seorang pengebom berani mati menyasarkan konvoi keselamatan berhampiran daerah Bannu di barat laut, mengorbankan dua tentera termasuk seorang leftenan kolonel.
Susulan keganasan semalam, itu tentera Pakistan memberi amaran tidak akan ‘menunjukkan sebarang sekatan’ dan operasi terhadap pihak bertanggungjawab akan diteruskan ‘tanpa mengira lokasi mereka’ dengan kenyataan itu menggambarkan ketegangan semakin memuncak antara Islamabad dan Kabul.
Beberapa hari sebelum itu, seorang lagi pengebom berani mati yang disokong lelaki bersenjata, merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke dinding pos keselamatan di daerah Bajaur, wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan.
Letupan menyebabkan sebahagian kompleks terbabit runtuh, mengorbankan 11 anggota tentera dan seorang kanak-kanak, selain pihak berkuasa kemudian memaklumkan penyerang adalah warga Afghanistan.
Islamabad turut melancarkan serangan di Afghanistan, menyasarkan tempat persembunyian militan, pada Oktober lalu.
Pakistan menyaksikan peningkatan keganasan militan sejak beberapa tahun lalu, dengan sebahagian besarnya didakwa dilakukan TTP serta kumpulan pemisah Baloch yang diharamkan.
TTP beroperasi secara berasingan tetapi mempunyai hubungan rapat dengan Taliban Afghanistan, yang kembali berkuasa pada 2021.
Islamabad mendakwa TTP beroperasi dari dalam Afghanistan dan ia dinafikan kedua-dua kumpulan itu serta Kabul.
Hubungan kedua-dua negara jiran kekal tegang sejak Oktober lalu, apabila pertempuran mengerikan di sempadan mengorbankan puluhan tentera, orang awam dan militan.
Keganasan itu berlaku susulan letupan di Kabul yang dituduh oleh pegawai Afghanistan berpunca daripada Pakistan.
Gencatan senjata perantaraan Qatar, kebanyakannya terpelihara, tetapi rundingan di Istanbul gagal mencapai perjanjian rasmi dan hubungan antara kedua-dua negara kekal tegang. – AFP
![]()