Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pan Borneo beri pulangan besar kepada rakyat dan negeri Sabah — Najib

0

PAPAR (Sabah, Malaysia): — Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Projek Leburaya Pan Borneo Sabah, akan membawa pulangan yang besar kepada rakyat dan negeri Sabah itu sendiri.

SB04_240416_ PM   “Ini dari segi pembangunan sosiekonomi,” katanya ketika berucap di pelancaran projek itu yang dilangsungkan di Kg. Andus Papar pagi pada Ahad (24 April 2016).

Perdana Menteri Malaysia itu berkata, projek mega itu bakal memberi kesan yang paling besar kepada negeri itu apabila projek itu siap kelak.

“Tidak seperti projek-projek biasa, Pan Borneo Sabah bersifat lonjakan berganda serta berterusan,” jelasnya dan menambah;    “Ya, kita telah buat banyak projek di Sabah. Kita telah buat Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC), kita wujudkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kita bina jalan raya luar bandar, laksanakan projek bekalan elektrik, air, projek perumahan rakyat dan pelbagai lagi sejak Sabah bersama membentuk Malaysia.

“Tapi kalau kita nilai dalam banyak projek tersebut, dalam membuat perbandingan mana satu projek yang bawa pulangan paling besar, saya berani kata bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo untuk Sabah merupakan projek yang paling besar kesan dan pulangannya kepada bumi Sabah,” katanya.

Majlis yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum itu turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri persekutuan dan negeri Sabah.

Perdana Menteri itu berkata, pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah itu membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janjinya dalam manifesto pilihan raya umum pada 2013 bahawa dalam tempoh lima tahun projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah akan dilaksanakan.

“Janji BN pasti kita tunaikan kerana BN bukan parti yang mengamalkan politik melahirkan rasa benci, bukan parti adu domba rakyat, bukan parti yang mengelirukan perasaan dan pemikiran rakyat. Itu adalah parti pembangkang.

“BN adalah sebuah parti yang punya visi masa depan. BN adalah sebuah parti yang mempunyai pelan pembangunan sosio ekonomi mentransformasikan bumi Malaysia ini,” katanya.    Beliau memberitahu bahawa BN ialah sebuah parti yang mampu melaksanakan projek pembangunan demi faedah rakyat.

“Inilah yang kita mesti bezakan dengan orang yang tabur janji, dengan orang tabur fitnah dan orang kelirukan rakyat. Kita tidak boleh bergantung kepada mereka, kita tidak boleh mengharapkan mereka (penabur fitnah). Kita cuma boleh bergantung dan berteduh di bawah payung BN,” jelasnya.

Beliau menyifatkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai pencetus perubahan sebenar kerana projek itu akan membentuk rangkaian jalan raya empat lorong bermula dari Sindumin ke Tuaran, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Tawau dan kemudian Tawau ke Kimanis dan Kota Kinabalu dalam tempoh 20 tahun.

“Sekalipun kerajaan  kekurangan pendapatan ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa namun fasa pertama projek lebuh raya tanpa tol bernilai RM12.86 bilion dan dijangka siap menjelang 2021 itu tetap diteruskan demi pembangunan Sabah yang lebih hebat,” katanya dan menambah, tiga pakej permulaan yang merupakan sebahagian fasa pertama projek sepanjang 706km itu akan ditawarkan pada bulan hadapan iaitu Pakej Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer, Jalan Tawau-Semporna (5km) dan Lahad Datu Bypass (7km).

Najib berkata bahawa beliau mahu projek Lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan sebagai projek “paling demokratik dan inklusif” dengan semua pihak diberi hak yang adil dan saksama dalam pelbagai aspek pelaksanaannya.

“Saya nak projek ini bukan syarikat besar sahaja dapat. Kita beri syarikat orang Sabah dengan syarat mereka mampu buat. Jangan jual projek, jangan songlap duit. Buat betul-betul, siapkan mengikut masa, sebab janji kita kepada rakyat. Kita senarai hitam syarikat begitu, kita beri syarikat tulen Sabah yang berkemampuan,” katanya.

Perdana Menteri itu juga tidak mahu projek lebuh raya berkenaan diberikan kepada kontraktor besar sahaja sebaliknya kontraktor kelas F juga perlu mendapat bahagian dalam projek berkenaan.

“Orang Sabah sudah cukup bersemangat. Kita merangsang minda orang Sabah supaya orang Sabah juga boleh maju dengan lebih hebat lagi. Inilah falsafah di sebalik (projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah). Tak tersurat tetapi tersirat dalam hasrat saya sebagai perdana menteri.

“Saya mahu Sabah lebih maju, lebih ke hadapan lagi sampai ke peringkat lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang … berbaloilah Sabah bersama Malaysia,” katanya.

Selepas melancarkan projek itu, Najib mengambil masa beberapa minit untuk  berintraksi dengan rakyat di empat daerah di negeri ini – Keningau, Tawau, Sandakan dan Kudat melalui persidangan video, yang pertama seumpamanya dilakukan. – Oleh: DG HENRY.

 

 

 318 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.