RAIPUR: Pasukan keselamatan India membunuh sekurang-kurangnya lapan pemberontak Maois, kata polis hari ini, pertempuran terbaharu dalam konflik selama beberapa dekad yang berlaku di hutan tengah negara itu.
Gerila itu ditembak mati selama dua hari di bahagian terpencil di negeri tengah Chhattisgarh, di mana beberapa serangan maut ke atas perkhemahan pemberontak berlaku tahun ini.
Pasukan keselamatan mengepung kawasan hutan di daerah Dantewada selepas menerima risikan mengenai kumpulan pemberontak sedang bertemu di sana.
Inspektor jeneral polis, Om Prakash Pal memberitahu AFP, tujuh pemberontak terbunuh pada Khamis, manakala seorang lagi ditembak mati hari ini.
“Maois terbabit dalam tembakan yang berlaku sekejap-sekejap” terhadap pasukan keselamatan sepanjang Khamis,” katanya.
Katanya, sejumlah besar senjata termasuk senjata api automatik ditemui dari lokasi pertempuran.
Berdasarkan angka polis, lebih 100 pemberontak Maois terbunuh di India tahun ini, majoriti besar di Chhattisgarh.
Pemberontak, yang dikenali sebagai Naxalites dan mendakwa berjuang untuk golongan miskin luar bandar, melakukan serangan gerila sejak 1967.
India mengerah puluhan ribu anggota keselamatan untuk memerangi pemberontak Maois merentasi “Koridor Merah” yang dikuasai pemberontak, yang merentasi negeri tengah, selatan dan timur tetapi menyusut dengan ketara sejak sedekad lalu.
Ia juga membelanjakan jutaan dolar dalam pembangunan infrastruktur di kawasan terpencil dan mendakwa mengehadkan pemberontakan kepada 45 daerah pada 2023, turun daripada 96 pada 2010. – AFP