PAPAR (Sabah, Malaysia) : Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Dr. Daud Yusof berkata, cabaran perkembangan Revelusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) masa kini ialah pelajar seharusnya mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Katanya, perkembangan terbaru itu merupakan cabaran sengit pada abad ke-21 khususnya untuk melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan kritis, selain mampu meningkatkan keupayaan serta kebolehan sedia ada.
“Sebab itu penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dikalangan pelajar sangat penting khususnya untuk tujuan menghadapi pepereksaan atau pun kegiatan di luar sekolah,”
“Pelajar yang meguasai KBAT mampu menyelesaikan masalah dalam pelbagai bentuk, idea baharu kerana wujudnya pemikiran kreatif dan inovatif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Gunting Rambut sempena Program Kembali Ke Sekolah di sini.
Seramai 191 orang murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan menyertai program percuma yang disediakan oleh Wakil Rakyat Bongawan yang bermula dari 28 Disember dan berakhir pada 30 Disember ini.
Di Bongawan sebanyak 22 buah sekolah yang terdiri daripada 19 buah sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.
Daud yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan berkata selain guru di sekolah, ibu bapa turut memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka benar-benar menguasai KBAT memandangkan kaedah belajar pada abad ini semakin sengit dan mencabar.
“Ibu bapa pada zaman dahulu mengharapkan anak mereka sekadar tahu menulis, membaca dan mengira .. tuntutan pendidikan pada era globalisasi ini ialah menghendaki murid dan pelajar berfikiran aras tinggi sebagai pelapis kepimpinan negara,” katanya.
Justeru Daud mengajak ibu bapa supaya bersedia untuk menghadapi perubahan terkini itu dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing sebagai sokongan kepada keperluan anak-anak ke arah menguasai KBAT.
“Ibu bapa masa kini perlu untuk mengambil tahu perkembangan semasa dalam pelbagai sudut,” katanya.